Ahad, 18 Mac 2012

Hak air: S’gor temui peguam antarabangsa

FREE MALAYSIA TODAY

Menteri Besar mengadakan pertemuan dengan sekumpulan peguam kanan di London



SHAH ALAM: Berikutan rundingan air dengan Pusat buntu dan kerajaan negeri Selangor mendapatkan nasihat antarabangsa untuk memperolehi semula hak mengurus air.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban menjadi penyebab kepada kegagalan rundingan Pusat dan negeri.

Beliau mengadakan pertemuan dengan sekumpulan peguam kanan di London untuk membincangkan peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menyelesaikan kebuntuan rundingan yang akan memberi manfaat kepada jutaan rakyat Selangor.

“Kami amat serius untuk melaksanakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang digubal kerajaan Pusat Barisan Nasional. Akta ini membenarkan perjanjian konsesi ditamatkan sekali gus membolehkan kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air.

“Kami kesal dengan keengganan kerajaan Pusat bekerjasama untuk melaksanakan akta yang mereka sendiri gubal. Sikap yang ditunjukkan Kerajaan Pusat ini berbaur kronisme dan lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding kebajikan rakyat,” kata Menteri Besar dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Khalid berkata, sebagai firma perundangan yang dihormati, kerajaan negeri berharap mereka dapat menggunakan pengalaman undang-undang untuk menguruskan situasi seperti ini.

“Kontrak konsesi sepatutnya diberikan secara tender terbuka- satu istilah mudah tetapi sukar dilaksanakan jika tiada yang serius membanteras gejala rasuah.

“Di Selangor, syarikat konsesi dipilih bukan kerana kepakaran dalam industri air mahupun kerana kewangan kukuh. Tidak hairanlah jika mereka gagal teruk.

“Kerajaan Pusat cuba memperbetulkan keadaan ini menerusi WSIA tetapi selepas berlaku perubahan kerajaan negeri pada 2008, kerajaan Pusat sengaja menangguhkan dan mensabotaj pelaksanaan akta ini.

“Ini bukti nyata kebajikan jutaan rakyat menjadi korban demi kepentingan politik,” katanya.

Penswastaan atau lanun?

Beliau juga berbincang mengenai cabaran menghadapi industri perkhidmatan air di Selangor bersama sekumpulan sarjana di Pusat Pengajian Islam Oxford.

Abdul Khalid telah menerangkan kegagalan penswastaan air di Selangor.

Beliau juga bercakap mengenai isu ini ketika berjumpa dengan pelajar Malaysia di London anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland (UKEC).

Dialog “Dari kaca mata Kerajaan Negeri Selangor’ telah diadakan di London School of Economics, Jumaat lalu.

“Rakyat Selangor terpaksa menanggung beban kewangan ekoran kegagalan penswastaan air. Selain memaksimumkan sumber kerajaan negeri yang menjadi hak rakyat, syarikat konsesi juga berkompromi dengan kualiti dan penyaluran air di samping kerap mendesak kenaikan tarif air walaupun perkhidmatan yang diberikan teruk, “ kata Menteri Besar.

Pada 2007, tarif air dinaikkan dan syarikat konsesi mahu menaikkan lagi apabila kerajaan negeri baru mengambilalih negeri Selangor.

Kerajaan negeri tidak akan membenarkan eksploitasi secara terbuka terhadap rakyat yang merupakan satu lagi kes di mana syarikat swasta mendapat keuntungan tetapi rakyat menanggung kerugian.

“Soalan asas yang perlu dijawab, adakah ini penswastaan (privatisation) atau lanun (piratisation)?

Abdul Khalid juga membuat kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Setiausaha Komanwel di London. Beliau berbincang dengan Pengarah Sekretariat pejabat berkenaan mengenai pembangunan politik dan cabaran menghadapi sistem pilihan raya Malaysia.

Tiada ulasan: