Rabu, 28 Mac 2012

Dua lagi wanita jadi mangsa simbah asid

MALAYSIA KINI

Seorang wanita dan seorang gadis menjadi mangsa simbahan asid oleh dua lelaki ketika menunggu bas di Batu 16, Rawang, dekat Kuala Lumpur petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, S.Rani, 46, dan Nuraqilah Osman, 16, telah disimbah asid oleh seorang daripada suspek yang berjalan kaki.

Beliau berkata suspek telah meragut rantai leher Rani sebelum melarikan diri ke kawasan berhampiran.

"Semasa melarikan diri, seorang daripada suspek itu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah wanita itu yang turut mengenai mangsa kedua menyebabkan belakang badannya melecur," katanya dalam satu sistem pesanan ringkas malam tadi.

Abdul Rahim berkata Nuraqilah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang manakala Rani, yang cedera di muka, leher, tangan serta dada, masih dirawat di hospital sama.

"Mangsa tidak dapat mengecam identiti kedua-dua suspek kerana semasa kejadian, keadaan gelap dan perlakuan suspek terlalu pantas," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

Tiada ulasan: