Khamis, 8 Mac 2012

Dana RM90.3 juta ketirisan akibat 3 projek PKPS gagal

Ketiga-tiga projek pertanian secara komersil didapati gagal disebabkan kelemahan pengurusan dan pemasaran.



SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengalami ketirisan apabila dana berjumlah RM90.3 juta yang dipinjam daripada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan tiga projek pertanian didapati gagal mencapai matlamat.

Anak syarikat PKPS, PKPS Agro Industries Sdn Bhd (PAISB) mendapat pinjaman kewangan bagi menjalankan projek pemprosesan salad dan jus buah-buahan tropika sebanyak RM30.1 juta, manakala projek baja organik (RM10 juta) dan projek mengekstrak bahan aktif daripada herba tempatan menggunakan teknologi nano (RM50.2 juta).

Pinjaman terbabit diluluskan pada 12 September 2005 dan 29 November 2006 dan mengenakan tempoh bayaran balik pinjaman itu selama 10 hingga 15 tahun.

Ketiga-tiga projek pertanian secara komersil yang dikendalikan anak syarikat PAISB bagaimanapun didapati gagal disebabkan kelemahan pengurusan dan pemasaran akibat ketiadaan tenaga pakar yang berkaitan.

Malah beberapa peralatan dan mesin jentera yang dimiliki PAISB bernilai RM41.1 juta turut terbiar begitu saja dan tidak digunakan.

Projek salad dan jus buah-buahan yang dikendalikan syarikat Premium Sanitised Products Sdn Bhd mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM9.23 juta sehingga terpaksa memberhentikan operasinya pada Februari 2010 selepas dua tahun beroperasi.

Manakala produk nano dibawah syarikat Premium Bioherbs Sdn Bhd sehingga sekarang masih belum dikeluarkan dan tidak menembusi pasaran tempatan walaupun projek itu mula dilaksanakan sejak April 2007.

Bekas Pengurus Besar PAISB Md Zahary Malek ketika memberitahu Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (Selcat) berkata dalam menangani masalah berkenaan, beberapa aset termasuk hartanah dan peralatan jentera lain terpaksa dijual termasuk melupuskan pegangan syarikat bagi menampung beban bayaran hutang Kementerian Kewangan.

Beliau berkata pihaknya turut mengalami beberapa ‘kekangan’ diperingkat keputusan sepanjang tempoh krisis namun tidak menjelaskannya secara lanjut.

Tidak fokus

Sementara itu, Pengerusi Selcat Teng Chang Khim ketika ditemui pemberita berkata masalah ini terjadi apabila PKPS mula menceburi bidang lain dan tidak fokus kepada perniagaan terasnya sehingga menanggung kerugian yang besar.

“Kementerian Kewangan juga perlu melihat semula proses pemberian geran sehingga begitu mudah untuk diluluskan dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri perlu bagi memastikan wang rakyat digunakan sebaik mungkin bagi mengurangkan ketirisan,” katanya.

Katanya, kes PKPS sebelum ini pernah didengari diperingkat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak
Syarikat Kerajaan Negeri Selangor (JPK ABAS) yang dipengerusikan Adun Hulu Klang Shaari Sungib.

Namun diputuskan dibawa ke Selcat supaya membolehkan orang ramai mengetahui situasi sebenar.

Katanya, isu ini mungkin tidak sempat dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) memandangkan ia terlalu rumit dan tidak mahu terburu-buru membuat rumusan berat sebelah.

“Kita perlu bersikap adil pada pengurusan sekarang yang tiada kena-mengena dengan pengurusan terdahulu dimana pengurus besar sekarang (Pengurus Besar Kumpulan PKPS Ali Ahmad) yang tiada pengalaman
mendalam mengenai isu ini membawa pegawai yang lama untuk dijelaskan kepada Selcat.

“Ini sikap betanggungjawab yang perlu dipuji kerana berani berdepan dengan masalah,” katanya.

Tiada ulasan: