Isnin, 12 Mac 2012

Bung Moktar: Langkah Shahrizat 'baik tapi sudah terlewat'

G MANIMARAN

Shahrizat Abdul Jalil

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin yang sebelum ini telah dua kali meminta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar meletakkan jawatan ekoran kontroversi projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), hari ini menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sebagai terbaik walaupun sudah "terlambat."

"Saya lihat ini keputusan yang baik walaupun lewat diambil, diumumkan oleh beliau hari ini. Bagi saya, ia sepatutnya sudah lama diputuskan," kata beliau sambil bertanya "mengapa harus mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan ini?"

"Jangan tunggu lama-lama. Buat apa hendak tunggu lama-lama," kata beliau merujuk kepada pengumuman Shahizat akan berundur pada 8 April ini.

Bung Moktar berkata, sepatutnya Shahrizat mengumumkan keputusan ini dengan segera supaya tidak membebankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan.

Ketika diminta menjelaskan beban di pihak Najib membuat keputusan, Bung Moktar berkata, sekiranya Shahrizat tidak berundur, sudah pasti Perdana Menteri terpaksa mengambil tindakan meminta menteri itu meletakkan jawatan.

"Ini yang saya maksudkan beban di pihak Perdana Menteri membuat keputusan," kata beliau lagi.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN (BBCBN) ini berkata, beliau yakin keputusan Shahrizat ini akan membantu meningkatkan keyakinan ke atas kerajaan.

Disember lalu, Bung Moktar mempertahankan pendiriannya menggesa Ketua Wanita itu meletakkan jawatan atas alasan isu NFC menjadi liabiliti kepada parti.

Ahli Parlimen Kinabatangan yang lantang ini juga mengetepikan wujudnya sokongan padu bagi Shahrizat ketika persidangan agung sayap Wanita awal Disember lalu.

Bung Moktar berkata, menjelang pilihan raya umum, adalah penting Umno tidak dilemahkan oleh skandal-skandal yang dikaitkan dengan mana-mana individu.

Pada pengumuman petang tadi, Shahrizat mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita BN selepas berfikir dengan panjang lebar bagi meneruskan tugas dan amanah yang telah diberikan kepadanya.

Katanya, surat berhubung perkara itu yang berkuat kuasa pada 8 April telah disiapkan untuk diserahkan kepada Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Ekoran perkembangan hari ini, Bung Moktar berkata, beliau berharap pembangkang tidak lagi menggunakan isu NFC dan Shahrizat sebagai modal politik.

"Selepas Shahrizat memutuskan untuk berundur, saya anggap kes ini sudah selesai. Jadi, jangan jadikan ini sebagai isu, tak perlu bangkitkan lagi," katanya lagi.

9 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Masih belum terlambat, Bung pernah dengar pepatah: "Its better late then never" Sharizat mengambil langkah yang betul meletak jawatan selepas skandal ini. Sudahlah Bung, jangan memainkan isu ini lagi.

Mohd Ishak berkata...

Harap kes NFC ini boleh diselesaikan dengan sebaik mungkin setelah Sharizat meletak jawatan, mahkamah perlulah menilai kes ini dengan adil.

Tanpa Nama berkata...

walaupun terlewat, tapi keputusang dilakukannya dah dikira baik. tak perlu nak perbesarkan lagi hal ini.

Kris Jr berkata...

Apa2 pun tindakan tu adalah yang terbaik.

Unknown berkata...

Tidak patut Bung mengatakan demikian. Sebagai rakan seperjuangan seharusnya memberikan semangat kepada rakan dan bukan seperti apa yang Bung lakukan.

Bung Moktar perlu sedar akan kebolehan sendiri sekarang. Rakyat Sabah seperti tidak kenal akan siapa beliau di Sabah. Kerana tidak ada sumbangan yang diberikan kepada Sabah.

Tanpa Nama berkata...

Bukan memang tempoh jawatan itu pun hampir tamatkah?

Tanpa Nama berkata...

lebih baik Sharizat letak semua jawatan, termasuk ketua puteri umno.

Tanpa Nama berkata...

tidak ada apa2 jaminan bahawa isu NFC akan senyap setelah Sharizat melepaskan semua jawatan beliau.. malah semakin hangat dimain2kan oleh pembangkang ketika kempen pilihanraya nanti..

Tanpa Nama berkata...

memandangkan pembangkang tidak mungkin berhenti memainkan isu ini, oleh itu saya beranggapan bahawa tidak ada istilah lewat membuat keputusan ini.. lambat atau cepat, hasil dan kesannya tetap sama..