Selasa, 27 Mac 2012

BN kekal dengan persempadanan kawasan mengundi


Abdul Aziz Mustafa,



KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Najib Razak tidak menjadi Perdana Menteri kerana undi majoriti tetapi kerana persempadanan kawasan mengundi, kata bekas Ketua Penerangan Umno Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (gambar).

"(Dalam pilihan raya 2008 lalu) penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya merupakan 49 peratus dari pengundi popular.

"Yang menyelamatkan Umno dan yang membolehkan Najib jadi Perdana Menteri, ialah persempadanan kawasan mengundi.

"Kalau tidak ada pembohongan dan ‘arrangement’ macam ini, Umno yang melakukan kesilapan demi kesilapan keatas rakyat Malaysia sudah lama bungkem!" kata bekas Adun Pulau Manis itu.

Ariff menekankan, orang-orang Melayu tidak akan kehilangan apa-apa pun yang berharga jika menolak Umno.

Dengan menolak Umno, katanya, orang-orang Melayu hanya kehilangan "rantai dan pasung yang selama ini memenjarai jiwa mereka".

"Umno membodohkan orang Melayu dan suka selagi orang Melayu bergantung kepada Umno dan tertunduk-tunduk meminta sedekah seperti segala tambi dan peon.

"Ini bukan cara untuk memertabatkan maruah bangsa," tegas beliau.

Bagi Ariff, Umno sudah sampai masa tamatnya.

"Bila dah tiba maut, kita tak boleh melambat atau menyegerakan walaupun sesaat.

"Rakyat sudah lemas dan meluat dengan Umno. Untungnya, Umno tidak boleh melakukan apa apa untuk menyelamatkan diri nya. Setiap hari Umno menunjukkan lemasnya," kata beliau dalam tulisan terbaru blognya bertajuk "Mentalqinkan Umno".

Mengulas gertakan dalam keadaan serba cemas yang disuarakan Perdana Menteri baru-baru ini supaya "rakyat jangan melakukan kesilapan sekali lagi", Ariff berkata, "amat benar - jangan melakukan kesilapan dengan memberi lesen kepada pimpinan Umno untuk merompak dan melanun negara ini".

Melihat kepada cara kerajaan Umno memberi kontrak dan pinjaman dengan kadar rendah, beliau menyifatkan kerajaan pimpinan Umno seolah-olah memerah rakyat.

Negara akan bankrap, katanya.

"Lebih mendukacitakan - Najib menunjukkan sifat Umno yang bongkak. Umno merasakan dialah sahaja Melayunya.

"Dialah sahaja yang pandai mengurus negara. Dialah sahaja yang melindungi orang Melayu. Dialah sahaja yang boleh beri masa depan kepada orang Melayu dan Malaysia.

"Akan tetapi, fakta menunjukkan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat di tadbir dengan lebih baik," kata Ariff yang baru-baru ini menyertai DAP.

Beliau mempersoalkan, bagaimana Umno boleh memberi kita suatu masa depan yang cerah, jika ia telah menyebabkan suatu sejarah yang muram dan masa kini yang kacau?

Tiada ulasan: