Jumaat, 2 Mac 2012

Bekas Adun sedia tanding Parlimen Batang Lupar

"Kalau ini (dicalon) ketentuan takdir, saya sedia menyahut cabaran bertanding pada pilihan raya akan datang," kata Datuk Haji Bolhassan Haji Di.


KUCHING: Datuk Haji Bolhassan Haji Di bersedia untuk menyahut cabaran bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Batang Lupar pada pilihan raya umum akan datang andai itu kemahuan rakyat dan pemimpin tertinggi parti.

Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Beting Maro yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beting Maro selama lima penggal itu mengakui mengetahui ada ‘suara’ dari beberapa pihak di peringkat akar umbi mahu beliau dicalonkan.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan semua itu (calon) kerana ia terpulang kepada kehendak dan kemahuan rakyat serta parti.

“Kalau ini (dicalon) ketentuan takdir, saya sedia menyahut cabaran bertanding pada pilihan raya akan datang, tetapi atas tiket BN dengan syarat pencalonan itu adalah kerana kehendak rakyat dan parti.

“Malah saya juga tidak pernah memaklumkan berhenti dari arena politik tetapi mengatakan ‘bercuti’ ketika mengumumkan tidak mempertahankan kerusi Dun Beting Maro yang lalu,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Installer IBS (Sistem Binaan Berindustri) anjuran ABB Trading Sdn. Bhd dan Swakkom Enterprise Sdn. Bhd dengan kerjasama MARA dan CIDB.

Bolhassan menambah, sukar baginya untuk melupakan bidang politik apatah lagi kecintaannya untuk memajukan negeri dan negara ini bersama kerajaan sentiasa menebal dalam jiwa.

Terdahulu, beliau percaya mereka yang mempunyai kemahiran tentang
pemasangan teknologi IBS mempunyai peluang cerah untuk maju.

“Ini kerana, IBS mungkin akan menjadi komponen penting struktur pembinaan bangunan bagi menggantikan konkrit dan kayu pada masa akan datang,” katanya pada majlis yang turut dihadiri oleh Pegawai MARA Negeri, Adenan Bukra.

Lebih 50 orang menghadiri Kursus Kemahiran Installer IBS bermula dari 20 hingga 25 Februari lalu.

Tiada ulasan: