Rabu, 21 Mac 2012

Bayar sewa elak tanah dirampas

"Jika sewa tanah tidak dibayar sampai 10 tahun maka kita boleh rampas tanah itu," kata MB Selangor.


Sekitar Dun Selangor


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) agar sewa tanah dibayar jika tidak mahu sebarang rampasan dibuat.

“Setakat ini tidak ada rampasan tanah dibuat tapi saya ingatkan pada semua pihak agar sewa tanah perlu dibayar. Jika sewa tanah tidak dibayar sampai 10 tahun maka kita boleh rampas tanah itu,” katanya sejurus selepas berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini semalam.

Beliau menolak tuduhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan negeri merampas seluas 473 ekar tanah yang sepatutnya digunakan YBK.

Najib, pada 13 Mac lalu berkata rampasan tanah YBK oleh kerajaan negeri menyebabkan projek yang mahu dilaksanakan terjejas.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kelewatan upacara angkat sumpah Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini, Abdul Khalid menjelaskan beliau mahu individu yang dilantik memahami peranan mereka kelak.

“Kami mahu semua orang faham peranan mereka sebagai ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan memahami ‘integrity pact’ yang kita laksanakan,” katanya.

Kelmarin, Abdul Khalid berkata kelulusan telah diberikan untuk senarai nama baru bagi ahli majlis tersebut. Upacara angkat sumpah juga dijalankan pagi semalam dengan senarai nama itu mendapat persetujuan daripada semua parti yang terlibat.

Mengulas lanjut mengenai isu kawasan mengundi yang ditukar tanpa pengetahuan beliau seperti terpapar menerusi carian di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Khalid berkata pihaknya akan menjemput Pengarah Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof untuk menghadiri mesyuarat mingguan exco.

Ini bagi memberi penjelasan berhubung kawasan mengundi yang ditukar tanpa pengetahuannya.

Beliau menegaskan kad pengenalan beliau masih beralamat di tempat kelahirannya di Pasir Tuntung maka tidak timbul isu sama ada beliau tidak boleh bertanding sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun) di Selangor.

Tiada ulasan: