Selasa, 27 Mac 2012

Bantah SMS Speaker, ADUN BN Keluar Dewan

Post Pic


SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini hangat apabila semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional(BN) memboikot sidang DUN dan bertindak meninggalkan dewan serta merta.
Mereka bertindak keluar dewan sebagai tanda protes selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim yang menghantar sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)) kepada semua exco baru-baru ini yang menggesa mereka mempromosikan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat dalam sesi penggulungan dan menganggapnya berat sebelah.
SMS berkenaan menyatakan, “This is possibly the last winding up sessions for exco, opportunity should be fully used to talk about our success in the past 4 years like what Yaacob is doing now ( Ini mungkin kali terakhir sidang dewan ditangguhkan, peluang ini perlu digunakan sepenuhnya untuk bercakap mengenai kejayaan kita sejak empat tahun lalu seperti apa yang dilakukan oleh Yaacob (Sapari) sekarang”.
Difahamkan, SMS berkenaan dihantar kepada semua ADUN Pakatan Rakyat yang tersenarai di dalam telefon bimbitnya termasuk nombor ADUN Gombak Setia, Datuk Hassan Ali, yang juga bekas ahli exco kerajaan negeri Selangor.
ADUN Kuang, Abdul Shukur Idrus, berkata Speaker, yang juga ADUN Sungai Pinang dari DAP, sepatutnya berlaku adil kepada semua ahli dewan dan beliau tidak berhak untuk memantau atau menasihati ahli-ahli dewan dalam perbahasan.
“Saya mempersoalkan kewibaan Speaker. Jika SMS berkenaan dihantar daripada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, kita fahamlah," katanya.
“Tindakan beliau ini menunjukkan beliau bersikap tidak adil kepada kami dan kita mahu Speaker mohon maaf kepada semua ahli dewan malangnya beliau tidak mahu berbuat demikian,” katanya ketika mengadakan sidang media sejurus keluar dewan.
Sementara itu, ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata, beliau menerima SMS berkenaan daripada salah seorang ahli Exco pagi tadi dan berasa kecewa selepas mendapat tahu hal berkenaan.
Beliau dan Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) kemudiannya menuntut penjelasan daripada speaker dan menuntut Teng memohan maaf kepada DUN kerana mendakwa tindakan itu sama sekali tidak adil.

Teng bagaimanapun enggan melakukannya sebaliknya meminta Mohd Isa memfailkan usul terhadapnya jika tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Sebagai tanda bantahan, tujuh daripada sepuluh ADUN BN bertindak keluar dewan. Mereka termasuk, Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali), Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baharu), Datuk Abdul Rahman Palil (BN-Sementa) dan Badrul Hisham Abdullah (BN-Pelabuhan Klang).
Mohd Shamsudin ketika ditanya sama ada berniat untuk mengemukakan usul kepada dewan, berkata, pihaknya langsung tidak berminat meneruskan sandiwara itu.
“Kita tidak mahu buang masa dengan sidang ini. Kita juga tidak minat untuk usulkan apa-apa kerana kita tahu kita ditindas,” katanya.

Menurutnya, Teng sepatutnya meminta maaf kepada semua anggota dewan kerana SMS yang dihantarnya itu bertentangan dengan amalan seorang speaker kerana ia cuba mempengaruhi pemikiran orang lain untuk membahas sesuatu isu.

Bagaimanapun, Teng ketika ditemui berkata, BN ketandusan isu sehingga mempolitikkan tindakannya menasihati exco di dalam dewan.

Beliau juga menafikan mengambil sikap berat sebelah "dalam usaha mendekati dan menegur semua anggota dewan".

Katanya, SMS yang dihantar itu hanya untuk memberi peringatan kepada semua anggota exco agar menggunakan peluang sebaik-baiknya dalam sidang yang berkemungkinan berakhir hari ini.

Tiada ulasan: