Rabu, 7 Mac 2012

Banjir di Perlis dijangka diatasi selepas 2014

KOSMO

KANGAR — Masalah banjir yang kerap melanda Perlis dijangka dapat diatasi apabila tiga projek tebatan banjir siap menjelang 2014, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata projek itu ialah menaik taraf Sungai Arau, yang dilaksanakan bulan ini, menaik taraf empangan Timah Tasoh serta pembinaan lencongan barat bagi mengalirkan air empangan berkenaan ke Sungai Perlis dan terus ke laut.

"Kalau projek ini berjaya, adalah dianggarkan lebih 100,000 penduduk Perlis yang sebelum ini sering menerima bencana banjir semasa musim hujan, tidak lagi akan menghadapi masalah sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat projek itu daripada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Nishad Mohamed Mohd Shaffy di Empangan Timah Tasoh semalam.

Joseph, yang diiringi Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, kemudian melawat sekitar empangan itu sebelum ke Gua Kelam di Kaki Bukit.

Terdahulu, beliau dibawa meninjau Sungai Perlis yang memainkan peranan penting menerima limpahan air dari empangan sebelum mengalirkannya ke laut. — BERNAMA

Tiada ulasan: