Khamis, 29 Mac 2012

Apa punca BBC mohon maaf guna dana RM80 juta

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Perdana Menteri diminta menyatakan apakah punca yang menyebabkan BBC telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas penggunaan dana RM80 juta dan dari sumber mana dana tersebut diperolehi.

Demikian soalan bagi jawab lisan daripada Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman pada persidangan Dewan Rakyat hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.

Berikut adalah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli Parlimen PAS, hari ini.

Mohd Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan usaha jangka pendek dan jangka panjang, serta kos yang terlibat dalam mengatasi masalah hakisan pantai yang teruk di sepanjang pantai dan masalah muara-muara sungai utama yang cetek di Terengganu.

Datuk Dr Mohd Hayati Othman [Pendang] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah punca yang menyebabkan BBC telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas penggunaan dana RM80 juta dan dari sumber mana dana tersebut diperolehi.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan adakah Malaysia memainkan apa-apa peranan untuk mencari penyelesaian kepada masalah dalam negara Syria.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta PERDANA MENTERI menyatakan status halal dalam minuman Coca-Cola.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta PERDANA MENTERI menyatakan:-

(a) adakah Kerajaan berpuas hati dengan perkhidmatan pengangkutan awam dalam bandar di seluruh negara;

dan

(b) adakah Kerajaan bercadang untuk mengkaji jenis-jenis perkhidmatan pengangkutan dalam bandar seperti yang dilaksanakan di beberapa negara jiran yang kelihatan lebih mesra penduduk berpendapatan rendah.

Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan kenapa MARA sudah tidak lagi memberi biasiswa kepada pelajar bukan perubatan di Jordan dan Mesir.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan sama ada terdapat peruntukan untuk membaiki dan menaik taraf jalan menghubungkan Jelawang di Dabong ke Gua Musang yang berada dalam keadaan daif.

Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik jenayah yang berlaku di Parlimen Padang Terap mengikut tahun sejak 2008 hingga 2011 serta nyatakan kategori jenayah tersebut serta langkah-langkah pencegahan yang telah dilaksanakan.

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah yang terjadi dengan Penerbangan Malaysia Bhd yang memajakkan pesawat MAS apabila MAS dan AirAsia digabungkan.

Tiada ulasan: