Rabu, 28 Mac 2012

Anwar: Pakatan tak puas hati PSC pilihan raya

Penipuan dalam sistem daftar pemilih masih tetap berlaku walaupun berulang kali PSC menegur dan mengemukakan cadangan serta bukti.

Sekitar Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat tetap tidak berpuas hati dengan perjalanan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan pilihan raya kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memberikan kerjasama yang baik.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buktinya apabila penipuan dalam sistem daftar pemilih masih tetap berlaku walaupun berulang kali PSC menegur dan mengemukakan cadangan serta bukti.

Katanya, manipulasi senarai nama daftar pemilih sehingga sekarang masih gagal dibersihkan walaupun ahli jawatankuasa PSC Pakatan
mengemukakan bantahan, namun tidak diterima malah pelbagai alasan diberikan SPR.

“Kita tak boleh benarkan SPR menjamin pilihan raya bersih tapi meneruskan manipulasi dan penipuan.

“Jawatankuasa hanya diberikan ruang memanggil SPR kemudian dia betulkan kesilapan yang dinyatakan, tapi sistem itu tetap rosak dan
tak adil,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Katanya, ini ditambah apabila tiada sebarang jaminan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan pembaharuan dan cadangan pembaharuan pilihan raya sebelum PRU13 yang semakin hampir.

“Kalau begini saya rasa Pakatan akan tingkatkan kempen memberikan bukti penipuan yng berterusan kepada rakyat,” katanya.

Walau bagaimanapun, Anwar berkata Pakatan masih belum memutuskan sama ada negeri dibawah pentadbirannya mahu mengadakan pilihan raya umum serentak dengan Pusat.

Beliau berkata pihaknya masih berbincang dan mendengar pandangan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri Pakatan memandangkan ada yang enggan ia dijalankan secara berasingan.

“Perbincangan masih terbuka tetapi apa yang lebih penting Pakatan mahu memastikan proses pilihan raya berjalan dengan baik tanpa ada sebarang penipuan,” katanya.

Tiada ulasan: