Selasa, 27 Mac 2012

Adnan: Tiada calon kronik

NOOR AZIANTY NORMAN

adnan yaakob

KUANTAN – Barisan Nasional Negeri Pahang tidak akan sesekali memilih calon kroni untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti bagi memastikan sejarah hitam lalu tidak berulang.

Menurut Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob, pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) Pusat akan mengadakan perundingan secara terus dengan bahagian-bahagian parti di negeri ini bagi menentukan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Beliau berkata, rundingan itu diadakan bagi memilih calon yang boleh menang serta mengelakkan pemilihan kroni oleh pimpinan peringkat bahagian.

“Saya tidak kata pemilihan kroni berlaku di negeri ini, tetapi perkara itu telah berlaku sebelum ini di negeri-negeri lain menyebabkan BN dan Umno kalah dalam pilihan raya.

“Asas utama dalam pemilihan calon ini ialah calon boleh menang seperti yang dikehendaki oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah pembinaan bangunan RD Prima Suites milik syarikat Rangkaian Delima Sdn. Bhd. (RDSB) di Jalan Gambut, semalam.

Tambahnya lagi, BN bahagian Bentong sudah bermesyuarat kelmarin dan senarai calon untuk mewakili parti pada PRU13 telah disediakan, tetapi belum diserahkan kepada pimpinan pusat.

“Kita telah diminta untuk menyediakan senarai calon yang akan mewakili parti pada PRU13 nanti. Pun begitu, belum ada sebarang surat dikeluarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan sesiapa sahaja layak untuk membuat ulasan dan andaian mengenai politik dalam negara.

“Ulasan dan andaian yang dibuat itu adalah penilaian seseorang dan akhirnya yang akan menentukan adalah rakyat sendiri. Rakyat boleh membaca dan mendengar ulasan itu tetapi jangan terpengaruh dengannya.

“Bagi saya, penilaian mengenai politik negara hanya boleh dibuat selepas kajian holistik yang mendalam atau risikan telah dibuat. Pihak yang membuat ulasan juga perlu pakar dalam politik,” katanya.

Tiada ulasan: