Ahad, 26 Februari 2012

Zaid ibrahim 'digulingkan' ahli tak puas hati

Sekumpulan ahli Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), yang mendakwa mewakili sebahagian besar ahli parti itu, telah 'mengguling' Datuk Zaid Ibrahim sebagai presiden KITA dalam satu mesyuarat tergempar pagi ini.

NONEZamil Ibrahim (kanan), yang sebelum ini dipecat oleh Zaid, telah
dinamakan sebagai 'ketua' baru parti itu dalam mesyuarat tersebut yang diadakan di Kota Baru.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa 'kepimpinan' baru akan berjumpa dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) minggu depan untuk mengesahkan kesahihannya dalam parti.

Parti berusia satu tahun itu, yang ditukar oleh Zaid dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), terbabit dalam perebutan kuasa selepas beliau membuat keputusan mengejut bulan lepas untuk membubarkan parti itu.

Keputusan itu menyebabkan kepimpinan parti itu di beberapa buah negeri memberontak terhadap Zaid, dan mendesak beliau meletak jawatan dan jangan mengganggu parti itu.

Sekretariat parti 'dikawal' oleh Zaid


Kumpulan serpihan itu, yang diterajui oleh Zamil yang merupakan ketua KITA Kedah sebelum dipecat oleh Zaid, membuat laporan polis di Kota Baru semalam, mendakwa pemimpin-pemimpinnya telah melanggar perlembagaan parti.

Beliau menuduh Zaid sengaja menyembunyikan berita bahawa ibupejabat parti itu telah menerima surat tunjuk sebab dari ROS berhubung keputusannya untuk membubarkan parti itu, selepas dia gagal melaksanakan keputusannya melalui jawatankuasa eksekutif pusat parti.

Zamil mendakwa pelantikan beliau itu, yang telah diumumkan oleh ketua KITA Kelantan yang juga anak kepada pengasas Akim, mendapat sokongan dari banyak pemimpin negeri.

"Kami akan menyerahkan kepada ROS (untuk menentukan sama ada mesyuarat berkenaan mengikut perlembagaan parti)," katanya apabila ditanya mengenai kesahihan mesyuarat itu dan pelantikannya.

Zamil menjelaskan kumpulan yang memberontak itu tidak mempunyai pilihan kecuali memanggil mesyuarat tergempar kerana permintaan mereka supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti, tidak dihiraukan oleh kepimpinan pusat, yang didakwanya dikawal oleh Zaid.

Ahli perniagaan yang berusia 45 tahun itu adalah ahli exco Pemuda PKR dan pembantu kepada seorang ahli Parlimen PKR sebelum beliau menyertai KITA.

Tiada ulasan: