Ahad, 19 Februari 2012

Wanita tempatan, kekasih warga Nigeria dalang seludup dadah

SINAR HARIAN


SEPANG - Seorang wanita tempatan, pemilik sebuah agensi perjalanan, dan kekasihnya seorang lelaki Nigeria ditahan di ibu negara pada 14 Februari lalu kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup dadah yang dianggarkan seberat 75 kilogram (kg) dan bernilai RM18.7 juta ke dalam negara.

Mereka merupakan dalang kepada sindiket pengeludupan dan pengedaran dadah yang kegiatan mereka berjaya dipatahkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.

Dua keldai dadah yang merupakan lelaki Melayu turut ditahan. Dipetik Bernama, Timbalan Pengarah Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Siti Baya Berahan berkata wanita Melayu itu berumur 43 tahun sementara warga Nigeria berkenaan berumur 28 tahun, manakala kedua-dua keldai dadah tersebut berusia 25 dan 27 tahun.

Beliau juga berkata, wanita tempatan itu dipercayai merupakan pemilik sebuah agensi perjalanan di ibu negara sementara kekasihnya itu sedang mengikuti pengajian dalam bidang komputer di sebuah kolej swasta sejak dua tahun lalu.

Pasangan itu ditahan di sebuah rumah di Kepong manakala kedua-dua lelaki berkenaan ditahan di lokasi berasingan ketika melakukan penyerahan bagasi.

Siti Baya berkata hasil siasatan mendapati keldai dadah berumur 27 tahun itu pulang dari Phnom Penh, Kemboja pada 13 Februari lalu dengan membawa sebuah bagasi yang mengandungi Syabu seberat 3.3kg bernilai RM825,000.

"Sindiket ini berjaya membawa masuk dadah jenis Syabu dianggarkan seberat 75kg ke negara ini sejak empat bulan lalu dengan merekrut seramai enam orang keldai dadah tempatan sebagai pekerja travel agensi, iaitu lima orang lelaki dan seorang wanita, kesemuanya berusia 20-an," katanya.

Beliau berkata mereka direman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.

"Ini merupakan kali pertama mastermind sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah ditangkap sejak tahun lalu.

"Sepanjang tempoh itu, enam orang keldai dadah itu telah pergi ke luar negara sebanyak 25 kali. Ini bermakna seorang keldai dadah akan ke luar negara sebanyak empat atau lima kali dan setiap kali mereka pulang ke Malaysia, dipercayai mereka membawa tidak kurang 3kg dadah yang disorok dalam bagasi," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Siti Baya berkata, sepanjang tempoh empat bulan tersebut keldai dadah pernah melawati beberapa negara dan bandar raya antaranya Phnom Penh, Johannesburg, Bangladesh, Siam Reap, Manila, Cape Town, Mozambique dan Singapura.

Tiada ulasan: