Isnin, 6 Februari 2012

Ustaz miskin terkilan tak layak terima BR1M

MALAYSIA KINI

Seorang bekas guru agama yang menyarai empat anggota keluarganya dekat Alor Setar, yang hidup mereka diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sedih dan terkilan kerana permohonan untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) gagal.

Kamaruddin Abdullah 66, yang tinggal di sebuah rumah usang di Kampung Batu 4 1/4 Jalan Sungai Korok, bersama ibunya Saadiah Saad, 83, adiknya Muhammad Sharifuddin, 59, dan anak perempuannya Solehah, 31, mengharapkan BR1M kerana mereka kini hidup hanya mendapat bantuan daripada saudara mara.

Beliau berkata permohonannya gagal kerana surat yang diterima menyatakan beliau tidak layak untuk mendapatkan BR1M.

"Kami memang sangat berharap untuk dapat BR1M kerana duit itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban kami sekeluarga, katanya yang pernah belajar dan mengajar di sebuah sekolah pondok," katanya sambil menambah bahawa beliau juga tidak pernah memohon dan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kamaruddin berkata tambah memeritkan apabila beliau dan Sharifuddin mengalami masalah pada kaki selepas terbabit dalam kemalangan yang berasingan tiga tahun lepas manakala Solehah pula menghidapi penyakit jantung berlubang dan memerlukan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) setiap bulan dan kadang-kadang lima kali sebulan.

Ketika ditemui di rumah mereka, Kamaruddin berkata selepas beliau terlibat dalam kemalangan itu, beliau tidak boleh melakukan kerja-kerja berat kerana masalah pada kaki dan kesihatannya bertambah teruk selepas terlibat sekali lagi dalam kemalangan hujung tahun lepas.

"Mujurlah adik saya (Sharifuddin) boleh membantu keluarga dengan menyewa bendang orang bagi mencari sesuap nasi walaupun keadaannya juga tidak sempurna seperti orang lain, tetapi pendapatannya pun terjejas kerana padi sering diserang penyakit, selain bantuan daripada saudara mara", katanya.

Kamaruddin berkata ibu mereka yang telah uzur, tidak mampu melakukan kerja-kerja berat di rumah dan tugas itu diambil alih oleh anaknya, Solehah tidak boleh terlalu kuat bekerja kerana penyakit jantungnya sering menyerang kalau beliau letih.

Beliau berkata setiap kali Solehah mendapatkan rawatan di Pulau Pinang, mereka terpaksa menyewa teksi dengan bayaran RM200 sehari kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.

"Duit yang kami dapat hasil daripada zakat yang diberi oleh orang ramai akan kami simpan untuk kegunaan kos tambang dan rawatan Solehah selain menggunakannya untuk membeli keperluan dapur," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Sharifuddin di talian 019-5257479 atau melalui akaun Maybank Sharifuddin 152170046644.- Bernama

Tiada ulasan: