Rabu, 29 Februari 2012

UPSI: 8 mahasiswa dipanggil kawad cam polis

MAAYSIA CHRONICLE


Pada kira-kira jam 3 petang semalam, 8 mahasiswa yang terlibat dengan Perhimpunan Kebebasan Akademik pada malam tahun baru 31 Disember yang lalu telah dihubungi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi sesi kawad cam yang akan diadakan pada 29 Februari, hari ini di Balai Polis Tanjung Malim, Perak.

8 aktivis mahasiswa yang terlibat adalah Ahmad Shukri Che Ab Razab yang bertindak sebagai Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Khalid Mohd Ismath, Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Haziq Abdullah Abdul Aziz (Presiden Kami), Muhammad Safwan Anang@Talib, Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Adam Adli, pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif, Ekhsan Bukharee Badarul (Aksi), Mohd Zaini Mahd Ismail, aktivis mahasiswa dan Muhammad Hilman Idham, bekas Presiden dan pengasas Kami.

Perhimpunan yang diadakan pada malam tahun baru itu sebenarnya adalah untuk mengulangi enam tuntutan mahasiswa yang telah dikeluarkan oleh Gerakan Kebebasan Akademik (Bebas) dan beberapa persatuan mahasiswa yang lain serta menuntut supaya pihak UPSI menggugurkan pertuduhan ke atas Pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Adam Adli yang dikatakan menghuru-harakan ketenteraman awam serta mencemarkan nama universiti.

Namun begitu, perhimpunan aman yang hendak diadakan berakhir dengan tragedi berdarah apabila pemimpin Bebas, Muhammad Safwan Anang@Talib telah mengalami kecederaan yang parah akibat dipukul.

Selain itu, beberapa mahasiswa lain juga turut tercedera.

Kes himpunan UPSI ini mendapat perhatian serta liputan meluas termasuk daripada bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin yang mengecam tindakan pihak polis. Kes ini seolah-olah tergantung dan tidak mencapai resolusi yang sepatutnya apabila Safwan yang telah dipukul tidak mendapat pembelaan sepatutnya.Ini yang kami tidak faham.

Selain itu, 8 mahasiswa yang mendapat panggilan daripada PDRM itu berasa hairan apabila mereka yang dikenakan kawad cam sedangkan kes anggota polis yang memukul Safwan Anang tidak mendapat sebarang jalan penyelesaian.

Lord Denning yang terkenal pernah berkata bahawa “keadilan bukanlah sesuatu yang mampu dilihat, ia tidak terbatas oleh waktu tetapi kekal sampai bila-bila. Ia bukan produk intelek tetapi produk rohaniah insan”.

Justeru, mahasiswa menuntut supaya supaya keadilan ditegakkan dalam kes ini bertepatan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Mahasiswa berharap supaya pihak polis menjalankan kawad cam mengikut prosedur dan undang-undang yang ditetapkan kerana kami masih percaya bahawa pihak polis merupakan harapan masyarakat untuk menjaga keselamatan dalam negara.

Kalau bukan kalian, siapa lagi?

Khairul Naim ialah Setiausaha Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami)- Harakahdaily

Tiada ulasan: