Isnin, 27 Februari 2012

Tambakkan Tebing Sg Yu Baru Siap, Runtuh

Oleh Nazli Ibrahim


TANJUNG KARANG: Projek tambakkan tebing sungai di kawasan jeti Kampung Sungai Yu runtuh walaupun projek di bawah peruntukkan Kementerian Pertanian dibawah menterinya Datuk Seri Noh Omar itu hanya baru siap dibina beberapa bulan lalu.

Tambakkan yang dibuat dengan menggunakan batang kelapa sebagai penahan tersebut gagal menahan tekanan air sungai apabila kunci air berhampiran dibuka.

"Kononnya nak buat lanskap di tebing sungai itu, tetapi bila dah ditambak, sungai tu jadi sempitlah.

"Ia dekat dengan kunci air, bila kunci tu dibuka maka arus jadi kuat dan batang kelapa yang jadi penahan tu tak boleh tahan arus dan tumbang.

"Akhirnya tambakan tebing tu menurun atau hakis sebab mana boleh jadikan batang kelapa sebagai penahannya" demikian menurut Ketua Kampung Sungai Yu, Muhad Solihi ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga berkata projek tambakkan dibawah kementerian yang di terajui Noh itu dilaksana tanpa perancangan dan pemantauan semasa kerja pembinaan projek tersebut berjalan.

"Kalau mereka buat perancangan sebelum buat, mereka takkan gunakkan batang kelapa sebagai penyendal sebab batang kelapa takkan mampu bertahan.

"Semasa projek tengah berjalan pun harus ada pemantauan, tetapi ini tidak, inilah sikap tak bertanggungjawab masing-masing jalankan projek main sambil lewa sahaja.

"mereka kena sedar setiap projek ini melibatkan wang orang ramai dan harus beri manfaat kepada orang ramai juga," beritahunya lagi.

Menurutnya lagi, sepatutnya kerajaan lebih mengutamakan projek yang lebih memberi manfaat kepada masyarakat kampung ini.

"Sepatutnya kerajaan lebih menumpukan projek yang memberi manfaat kepada penduduk kampung, bukannya buat projek yang tak beri faedah kepada masyarakat yang akhirnya tak menjadi dan membazir duit seperti ini," katanya lagi.

Selain itu beliau turut kesal dengan tindakan kerajaan yang menyatukan semua projek-projek yang ada menyebabkan hanya kontraktor kelas B sahaja yang layak memohon tender untuk pembinaan projek terbabit.

"Semua projek-projek peruntukan kerajaan pusat di kampung ini disatukan menyebabkan hanya kontraktor kelas B sahaja yang layak, anak-anak kampung ini kelas F tak layak.

"Tetapi akhirnya tengoklah sendiri hasil kerja mereka, sangat teruk, asalkan siap sahaja tetapi tak boleh tahan lama.

"Sepatutnya projek kecil seperti ini boleh diberikan kepada anak-anak tempatan kampung ini yang memiliki lesen kontraktor kelas F," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: