Jumaat, 17 Februari 2012

SMM dakwa Aman Kampus prejudis isu Lynas


Abdul Rahim Sabri
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini membidas kumpulan pelajar Aman Malaysia yang didakwa mahu menjaga kepentingan pihak tertentu apabila menyokong projek pemprosesan nadir bumi Lynas.

Pengerusi SMM Ahmad Syukri Ab Razab berkata kumpulan pelajar pro-Aspirasi itu juga sepatutnya mendapatkan pandangan penduduk tempatan dalam isu pembinaan loji tersebut.

"Saya menganggap pihak Aman Malaysia prejudis terhadap isu ini. Mereka lebih dilihat mahu menjaga kepentingan sesetengah pihak.

"Mereka bertemu dengan Lynas, (dan) mereka perlu turun dapatkan pandangan penduduk tempatan seramai mungkin dan bukan hanya mendengar kata daripada pihak Lynas sahaja dan berkata ianya Okay dan baik," kata Ahmad Syukri lagi dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan ketua Aman Kampus, Mohd Shahar Abdullah yang mengikuti taklimat selama hampir dua jam oleh wakil Lynas di Gebeng, Kuantan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri berkata SMM telah menemui kira-kira 400 penduduk yang tinggal berhampiran dengan kilang itu pada April tahun lalu dan mendapati 99 peratus warga berkenaan menolak pembinaan kilang tersebut.

Beliau mendakwa, projek berkenaan antara lainnya akan menjejaskan perniagaan penduduk, mengurangkan pendapatan dan juga menyebabkan kejatuhan hartanah dan harga rumah warga tersebut.

"Apakah ini dikatakan rahmat kepada mereka?" soal Ahmad Syukri yang akan mengerahkan seramai mungkin mahasiswa untuk turut serta dalam perhimpunan anti-Lynas – Himpunan Hijau 2.0 - yang akan diadakan pada 26 Februari di Kuantan.

Sesuatu projek yang baik juga tidak sepatutnya mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan tuntutan rakyat, kata Ahmad Syukri lagi yang mengulas kenyataan pemimpin Aman Kampus, Mohd Shahar Abdullah.

Mohd Shahar Abdullah dalam kenyataannya berhubung mengenai taklimat itu menyifatkan projek pemprosesan nadir bumi Lynas sebagai "projek yang baik dan memberi impak positif kepada penduduk dan sosio-ekonomi negara".

Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah wakil Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) Wong Swee Nee dan Heng Kiah Chun serta wakil Mahasiswa Progresif New Era College Raymond Lim.

Himpunan Hijau 2.0 antara lainnya menggesa supaya lesen menduduki sementara (TOL) Loji Nadir Bumi Lynas itu ditarik balik dengan segera dan segala projek yang memudaratkan kesihatan dan berpencemaran tinggi itu ditamatkan.

Tiada ulasan: