Jumaat, 17 Februari 2012

Shahrizat Boleh Putus Selepas Siasatan Selesai, Kata Muhyiddin

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini berkata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil boleh memutuskan samada mahu meletak jawatan selepas siasatan terhadap kontroversi projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) berjumlah RM250 juta yang ditawarkan kepada ahli keluarganya selesai.

Muhyiddin, yang menjadi Menteri Pertanian ketika projek terbabit ditawarkan pada 2006 lalu berkata semua ppihak perlu bersabar dan tidak prejudis
ketika siasatan sedang dijalankan polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita tidak sepatutnya membuat andaian kerana perkara tersebut masih dalam siasatan. Kita tidak boleh membuat ramalan dan saya tidak boleh prejudis.. Jika ada penemuan sesetengah pihak terbabit, barulah Sharizat boleh membuat keputusan," katanya kepada wartawan di Kuantan.

Shahrizat, yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat sehingga kini enggan menurut desakan daripada kedua-dua pembangkang dan juga beberapa pemimpin Umno yang menggesa beliau meletak jawatan berhubung dakwaan salahguna kuasa dalam projek penternakan lembu berkenaan.

Semalam, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali lagi mengulangi gesaannya supaya Ketua Wanita Umno terbabit meletak jawatan dan tidak terlalu menyayangi jawatannya sehingga enggan samasekali melepaskannya.

Selain Tun Dr Mahathir, beberapa pemimpin Umno lain, salah seorangnya Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin juga menggesa Shahrizat meletak jawatan, walaupun beliau dilihat seperti mendapat sokongan daripada kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita Umno ketika perhimpunan Agung Umno tahun lalu selepas menafikan melakukan sebarang salah laku berhubung NFC

Kelmarin, menteri di Jabatan PerdanaMenteri, Datuk Seri Nazri Aziz juga dilaporkan sebagai berkata kepada media bahawa Perbadan Fidlot Nasional (NCorp), yang dimilik oleh suami Shahrizat serta tiga orang anaknya telah melakukan pecah amanah menggunakan pinjaman kerajaan bertujuan untuk penternakan lembu dengan membuat pembelian yang tidak berkaitan.

Projek tersebut menjadi tajuk hangat selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan melaporkan terdapatnya kecelaruan dalam projek yang diurus tadbir oleh keluarga Shahrizat tersebut.

Sejak itu, PKR telah membuat beberapa siri pendedahan termasuk pembelian dua kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan dituduh menggunakan dana kerajaan tersebut untuk perbelanjaan peribadi keluarganya.

Mereka turut menuduh keluarga Shahrizat menggunakan sejumlah RM600,000 daripada dana NFC bagi membiayai pembayaran bil kad kredit mereka pada 2009.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa suami Wanita Umno, dan anak-anaknya yang menjadi lembaga pengarah NFC, menggunakan dana daripada RM250 juta untuk projek berkenaan bagi membayar bil kad kredit yang berjumlah melebihi RM10,000 sebulan sepanjang tahun tersebut.

Namun begitu, pentadbiran NFCorp menepis dakwaan tersebut dan menegaskan penggunaan kad kredit tersebut adalah untuk kegunaan perniagaan.

Mereka turut menafikan tuduhan dana RM250 juta itu telah dipindahkan ke akaun mereka sebelum perjanjian pinjaman tersebut dimeterai.

Tiada ulasan: