Selasa, 7 Februari 2012

Salahuddin ke Johor, kerusi belum muktamad

NOOR AZURA SAHRIL




SHAH ALAM – Teka-teki berhubung keputusan Pas meletakkan Salahuddin Ayub bertanding di negeri kelahirannya, Johor terjawab apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali mengesahkan Naib Presiden itu akan beralih kawasan kali ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberitahu kawasan yang mungkin ditandingi Salahuddin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Salahuddin sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Mustafa mengakui terdapat perbincangan mengenainya, namun keputusan itu masih belum muktamad dalam menentukan kedudukan Salahuddin, yang merupakan anak jati Tanjung Piai, Pontian, Johor.

“Nak dikatakan khabar angin, tidak khabar angin juga, namun belum lagi muktamad. Dari segi bertanding kawasan mana, ia akan ditentukan kemudian,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis perkahwinan anak Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di sini, semalam.

Sebelum ini, terdapat desas-desus, Salahuddin akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor sebagai calon Menteri Besar jika Pakatan Rakyat (PR) menguasai Johor.

Malah, beberapa kawasan juga didakwa merisik Salahuddin supaya bertanding di bahagian Parlimen Pasir Mas, Kelantan, dan Titiwangsa, Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Salahuddin akan mengumumkan dalam beberapa minggu lagi, berhubung keputusan itu untuk menyatakan kawasan yang akan ditandinginya dan beliau juga mengakui, sudah memutuskan kerusi yang akan ditandinginya nanti.

Dalam pada itu, Mustafa ketika ditanya berhubung persiapan pembahagian kerusi Pas pada PRU akan datang, beliau berkata, 90 peratus hampir selesai.

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tidak timbul isu perselisihan berhubung pembahagian kerusi dengan rakan sekutunya, PKR di beberapa negeri termasuk Terengganu.

Sebaliknya, Abdul Hadi berkata, pemilihan sudah hampir di peringkat akhir dan hanya tinggal 10 peratus sahaja yang belum selesai.

Tiada ulasan: