Sabtu, 18 Februari 2012

PRU13: Tuan Ibrahim beralih angin

DIANA SURYA ABD WAHAB

tuan ibrahim tuan man

KUANTAN – Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masih lagi berteka-teki sama ada untuk kembali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jengka atau memilih kerusi lain pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menurutnya, setakat ini beliau masih tidak boleh memberikan jawapan walaupun senarai nama telah dihantar ke peringkat pusat.

“Setiap calon yang layak sememangnya akan disenaraikan untuk diketengahkan termasuklah nama saya pun ada di mana-mana cuma belum menerima kata putusnya lagi.

“Semua terserah kepada jawatankuasa parti di peringkat pusat yang akan mempertimbangkan di bahagian mana lebih tepat untuk diletakkan.

“Dengan itu, saya masih belum tahu dan kita tunggu sedikit masa sahaja lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuan Ibrahim berkata, walaupun beliau dan keluarga bermastautin di kawasan Jengka tidak semestinya beliau bertanding lagi di kerusi berkenaan pada PRU-13 nanti.

“Sememangnya ada juga permintaan memandangkan segelintir pengundi sekarang ini menginginkan calon untuk dijadikan pemimpin merupakan orang tempatan atau berasal dari kawasan tersebut.

“Saya masih belum pasti tapi ia berkemungkinan juga memandangkan tempat itu merupakan tempat saya dan keluarga juga ada di sana. Mungkin ya dan mungkin juga tidak untuk saya kembali ke Jengka, memandangkan saya juga mendapat permintaan bertanding di tempat lain.

“Sesiapa sahaja boleh bertanding di mana-mana dirasakan memandangkan perjuangan parti untuk rakyat adalah sama sahaja,” katanya.

Sejak 1999 lagi Tuan Ibrahim sudah bertanding di kerusi Jengka dan pernah memenanginya pada PRU-11 sebelum tewas pada 2008 kepada calon Barisan Nasional, Wan Salman Wan Ismail dengan majoriti 596 undi.

Sementara itu ketika ditanya kemungkinan beliau mahu beralih angin mencuba nasib di kerusi Parlimen, Tuan Ibrahim enggan mengulas lanjut dan hanya akur dengan sebarang keputusan daripada pucuk pimpinan Pas Pusat.

Namun menurut sumber dalaman, Tuan Ibrahim pernah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding di Dun Jengka dan mahu beralih angin ke kawasan lain.

“Kalau boleh beliau (Tuan Ibrahim) sudah tidak mahu bertanding di Jengka kerana telah lama ‘beradu tenaga’ di kawasan berkenaan,” kata sumber itu.

Kata sumber itu, berkemungkinan Tuan Ibrahim akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen, cuma kawasannya belum ditentukan lagi.

Tiada ulasan: