Isnin, 13 Februari 2012

Permohonan maaf BBC memalukan Malaysia

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Nama negara tercalar teruk dengan permohonan maaf terbuka British Broadcasting Corporation (BBC) atas kesalahan menyiarkan program berbayar yang berat sebelah termasuk lapan yang melibatkan Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman BBC semalam, media antarabangsa tersebut mengakui terhadap sebilangan “kecil” program yang disiarkan dalam BBC World News antara Februari 2009 hingga Julai 2011 telah melanggar protokol dalaman yang diwujudkan untuk menjaga integriti editorialnya.

“Sebilangan kecil program-program disiarkan di BBC World News antara Februari 2009 dan Julai 2011 melanggar peraturan-peraturan BBC bertujuan untuk melindungi integriti editorial kita.

“Peraturan-peraturan ini memastikan yang program-program bebas , dan dilihat untuk menjadi bebas, dari komersial atau tekanan-tekanan luar lain,” kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataannya, BBC secara jelas menyatakan terhadap 8 program yang dikesan mempunyai pertalian kewangan dengan kerajaan Malaysia.

“Ini bermaksud terdapatnya potensi satu konflik kepentingan , walaupun BBC tidak sedar tentangnya apabila program-program itu disiarkan,” tambah kenyataan itu.

Semalam juga, akhbar The Independent melaporkan bahawa permohonan maaf BBC akan disiarkan ke seluruh dunia secara berperingkat pada empat waktu berlainan, dari Kuala Lumpur ke Khartoum supaya sampai ke semua penonton di zon berbeza.

Namun begitu, dalam kenyataan BBC tidak disebutkan nama firma yang menerbitkan lapan dokumentari tersebut iaitu FBC Media Ltd, yang diakui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibayar kerajaan Malaysia sebanyak Euro 19.6 juta (RM80 juta) antara 2007 dan 2010 untuk menaikkan imej pentadbiran beliau di seluruh dunia.

Dokumentari-dokumentari tersebut memberikan bayangan baik kepada industri kepala sawit dan layanan terhadap orang Asli di Malaysia.

Menurut laporan The Malaysian Insider, BBC juga digunakan FBC ntuk membuat sebuah dokumentari mengenai pemberontakan di Mesir tanpa mengetahui firma dibayar melakukan kerja PR untuk rejim bekas diktator Hosni Mubarak.

“Jawatankuasa editorial BBC Trust telah mengenalpasti beberapa kepincangan di dalam panduan editorial akibat daripada program-program bermasalah ini. Ia bersetuju dengan tahan kepincangan yang serius, satu permohonan terbuka dan siaran terus kepada penonton adalah wajar,” tambah kenyataan itu lagi.-Harakahdaily

Tiada ulasan: