Sabtu, 25 Februari 2012

Pentadbiran bersih Pakatan jadikan Pulau Pinang dan Selangor destinasi pelaburan terbaik

Roketkini.com



PETALING JAYA: Pentadbiran cekap, akauntabel dan telus kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya menjadikan kedua-dua negeri itu sebagai destinasi pelaburan sektor pembuatan yang terunggul di Malaysia bagi tahun 2011.

Pulau Pinang yang mencatatkan pelaburan berjumlah RM9.1 bilion manakala Selangor RM8.7 bilion membuktikan kemampuan PR mentadbir dengan bersih dan baik yang amat menyakinkan para pelabur.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, ini adalah kali kedua di mana Pulau Pinang menduduki tempat pertama dalam pelaburan sektor pembuatan, susulan kejayaan pertama dengan jumlah pelaburan RM12.2 bilion pada 2010.

Katanya, bagi tahun 2011, tiga daripada lima negeri yang menerima pelaburan tertinggi merupakan negeri-negeri PR, iaitu Pulau Pinang di tangga pertama, Selangor (kedua) dan Kedah (kelima) dengan RM6.1 bilion.

“Pentadbiran cekap berdasarkan prinsip CAT serta tender terbuka dan pengisytiharan aset secara umum oleh barisan pimpinan kerajaan Pulau Pinang telah menimbulkan keyakinan para pelabur yang tidak perlu risau tentang ‘kos tersembunyi’.

“PR percaya bahawa komitmen toleransi sifar terhadap korupsi dan integriti pemimpin merupakan antara faktor utama kejayaan Pulau Pinang menjadi lokasi terpilih para pelabur untuk dua tahun berturut-turut.

“Kerajaan-kerajaan PR bukan sahaja telah menarik pelabur tetapi juga telah menonjolkan kemahiran pengurusan kewangan dengan lebihan bajet yang telah mendapat pujian daripada Laporan Ketua Audit Negara,” katanya dalam satu majlis makan malam amal anjuran DAP Petaling Jaya Utara di sini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kejayaan pentadbiran bersih Pakatan rakyat di Pulau Pinang juga telah mengurangkan 95 peratus hutang kerajaan negeri, iaitu kadar pengurangan yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

Katanya, walau pun pengurangan hutang Pulau Pinang sebanyak RM600 juta atau 95 peratus daripada RM630 juta kepada RM30 juta adalah satu kejayaan besar, ia cuba dipertikaikan oleh Barisan Nasional.

“Sekali lagi BN ingin menafikan kejayaan PR Pulau Pinang dalam pengurangan hutang yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia dengan mengatakan bahawa hutang Pulau Pinang telah distruktur semula dan dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Mereka tidak faham. Penstrukturan semula hutang adalah berbeza daripada pengurangan hutang. Tidak berlaku penstrukturan semula hutang dalam kes ini kerana Pulau Pinang tidak mempunyai hutang tertunggak, tidak mempunyai masalah aliran tunai dan tiada masalah kewangan. Juga tidak berlaku pembiayaan semula kerana Pulau Pinang tidak menggantikan hutang lama RM630 juta dengan hutang baru,” jelas beliau.

Menurutnya, apa yang berlaku hanyalah pengurangan hutang daripada RM630 juta kepada RM30 juta, di mana kerajaan negeri sekarang tidak perlu membayar RM600 juta, dan semua lebihan itu pula digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan bahawa Malaysia telah kehilangan berbilion-bilion dolar (US$) melalui rasuah dan aliran keluar wang haram.

Dalam laporan terkini Global Financial Integrity yang dipetiknya, unjuran sebanyak RM1,077 bilion wang haram (kebanyakannya wang rasuah) telah dialirkan keluar dari Malaysia dari tahun 2000-2009.

Katanya, kerugian satu trilion ringgit ini (RM1,000 bilion) telah menjadikan 10 tahun pertama abad ke-21 sebagai “dekad yang musnah” dek korupsi.

Beliau juga amat kesal kerana tidak ada tindakan diambil ke atas skandal saham Bumiputera sebanyak RM52 bilion yang sepatutnya diagihkan kepada bumiputera miskin tetapi telah lenyap begitu sahaja.

Malah, setelah kalah di beberapa negeri selepas pilihan raya umum 2008, BN tetap degil dan enggan tunduk kepda desakan rakyat kerana telah gagal untuk melaksanakan sistem tender terbuka, justeru mengakibatkan kapitalisme kroni yang tidak mempedulikan nasib rakyat.

“Ambil sebagai contoh Lebuhraya Pantai Barat bernilai RM7.07 bilion baru-baru ini dengan tempoh konsesi 60 tahun.

“Ambil contoh keengganan kerajaan BN untuk memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang walau pun pengendali tol sudah mengaut keuntungan lebih 100 peratus daripada pelaburan modal.

“Ini semua menunjukkan bagaimana sistem kapitalisme kroni menguntungkan segelintir elit dan menyusahkan 28 juta rakyat Malaysia yang lain,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: