Sabtu, 18 Februari 2012

Penjenayah dari negara jiran ancaman baru keselamatan di Sarawak

SINAR HARIAN

KUCHING - Peningkatan kes rompak dan pecah rumah menggunakan senjata secara nekad membabitkan kumpulan penjenayah dari negara jiran sejak kebelakangan ini menjadi satu ancaman baru kepada keamanan di Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata merujuk kes sebelum ini polis mengenal pasti modus operandi suspek turut membabitkan penjenayah warganegara tempatan yang arif dengan sasaran mereka.

"Rompakan menggunakan senjata secara berkumpulan kebanyakan membabitkan warganegara jiran dan mereka ini biasanya lebih cepat dan mereka berani bersemuka dengan mangsa," katanya dalam satu sesi dialog bersama peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata polis sedang memantau aktiviti penjenayah terbabit yang keluar masuk ke negara ini selepas mereka melakukan aktiviti jenayah ataupun
rompakan.

Menurutnya sasaran utama kumpulan penjenayah itu ialah rumah-rumah mewah milik ahli perniagaan yang mempunyai simpanan wang tunai yang banyak di rumah selain memiliki banyak barang perhiasan mewah.

Kes terbaru tujuh perompak bertopeng menggunakan senjata senapang patah dan parang telah memecah masuk sebuah rumah di Jalan Matang petang semalam dengan mengikat kesemua enam sekeluarga dalam rumah tersebut sebelum melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM13,000 selain beberapa barang berharga seperti telefon bimbit dan pasport mangsa.

Dalam pada itu, katanya polis akan meneruskan Ops Cantas Kenyalang yang dilancarkan sejak 2007 dalam membasmi jenayah gengsterisma di seluruh Sarawak khasnya di beberapa bandar utama seperti Sibu dan Miri.

"Ops Cantas Kenyalang ini adalah operasi yang berterusan dan ia ibarat sebuah rumah yang perlu kita jaga dari semasa ke semasa," katanya.

Tahun lalu polis berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 5.7 peratus di Sarawak.- Bernama

Tiada ulasan: