Jumaat, 17 Februari 2012

Pendirian DAP tentang Israel

Roketkini.com



BUKIT MERTAJAM: Pemuda DAP Pulau Pinang mengecam fitnah dan pembohongan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Zahrain Mohd Hashim terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang kononnya diam dalam isu Israel.

Kenyataan Zahrain, seorang wakil rakyat lompat parti, bukan sahaja tidak benar malah bersifat hasutan kerana DAP konsisten menyokong perjuangan hak kenegaraan rakyat Palestin serta mengecam keganasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Bendahari Pemuda DAP Pulau Pinang Steven Sim berkata, pemimpin-pemimpin DAP selama ini berada di barisan hadapan di Malaysia untuk mengutuk segala kekejaman dan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Katanya, antaran usaha yang telah dilakukan oleh para pemimpin DAP adalah:

* Pada April 2002, Setiausaha Antarabangsa DAP ketika itu, Teresa Kok telah mengecam keras operasi “Defensive Shield” oleh rejim Israel di bawah pimpinan Ariel Sharon yang dikatakan operasi ketenteraan terbesar ke atas Tebing Barat sejak Perang enam Hari 1967;

* Pada Mei 2010, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menjadi antara pemimpin Malaysia yang terawal menggesa persidangan semua parti untuk menyatakan kemarahan rakyat Malaysia terhadap serangan tentara Israel ke atas Freedom Flotilla yang sedang dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza; dan

* Pada Oktober 2011, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dari DAP telah dihalau keluar dari Dewan Rakyat kerana beliau mendesak Menteri UMNO menjawab tuduhan tentang wujudnya perdagangan Malaysia dengan Israel. Soalan beliau tidak berjawab.

Sehubungan dengan iitu, Sim berkata, Pemuda DAP Pulau Pinang melihat fitnah Zahrain sebagai kenyataan seorang ahli politik yang terdesak dan sanggup membohong demi survival politiknya.

“Jelas di sini taktik beliau adalah senada dengan rejim UMNO yang menakutkan masyarakat Melayu-Islam terhadap DAP dengan tuduhan tidak berasas dan mahukan rakyat percaya bahawa hanya UMNO sahaja yang mampu membela Islam-Palestin.

“Pemuda DAP Pulau Pinang menggesa Zahrain untuk meminta maaf secara terbuka kepada DAP dan Lim Guan Eng atas tomahan beliau yang jelas tidak benar,” ujarnya.

Beliau mengingatkan Zahrain bekerja keras demi kebajikan rakyat Bayan Baru dan Pulau Pinang, dan bukannya membuang masa menjadi hero membela rejim UMNO.

Tambah beliau, Zahrain patut sedar bahawa UMNO telah membayar berpuluh juta wang rakyat Malaysia kepada syarikat perhubungan awam APCO yang mempunyai hubung-kait dengan pemimpin dan bekas pemimpin Israel. – Roketkini.com

Tiada ulasan: