Isnin, 27 Februari 2012

PAS: Tiada isu nak gulingkan MB Kedah

Mustapa Ali menafikan wujudnya cubaan gerakan tertentu untuk menggulingkan kepimpinan Azizan sebaliknya cuma perbezaan pandangan dalam pentadbiran Kedah.



KUALA LUMPUR: Lapan Exco Kedah diputuskan kekal dalam barisan kepimpinan negeri manakala nasib dua Exco lain yang dikenal pasti ’bermasalah’ akan diumumkan sebelum 7 Mac depan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapa Ali berkata majlis angkat sumpah bagi pelantikan lapan Exco itu akan berlangsung di Istana Anak Bukit esok, manakala dua lagi jawatan akan diisi kemudian.

Ini berikutan Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang dikatakan menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan keengganan dilantik semula sebagai Exco.

Memandang serius isu ini, Mustapa bagaimanapun menafikan wujudnya cubaan gerakan tertentu untuk menggulingkan kepimpinan Azizan sebaliknya cuma perbezaan pandangan dalam pentadbiran Kedah.

Katanya, satu pertemuan antara Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Azizan serta dua exco itu telah pun diadakan pada 17 Februari lalu dan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk terus mengekalkan barisan Exco sedia ada.

Perbezaan pandangan

“Ada perbezaan pandangan dalam menangani isu tertentu tapi tiada perbezaan yang tidak boleh diselesaikan dan kami yakin isu ini dapat ditangani segera,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Sehubungan itu, PAS akan menghantar Naib Presidennya Salahuddin Ayub mewakili Pusat turun ke Kedah esok dan mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini.

Mustapa berkata, PAS seboleh-bolehnya mahu Phahrolrazi dan Dr Ismail kekal memegang jawatan Exco memandangkan pihaknya setakat ini berpuas hati dengan prestasi mereka.

“Kami percaya apa sahaja tindakan yang diambil oleh pemimpin dan anggota parti dalam isu ini adalah berasaskan hasrat untuk memperkukuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah,” katanya,

Ditanya sama ada berkemungkinan pemilihan individu lain yang akan menggantikan dua Exco itu, Mustapa bagaimanapun menegaskan “kalau boleh semua dikekalkan dan kita akan bergerak ke arah itu”.

Katanya, walaupun keputusan itu nanti terletak di tangan Menteri Besar namun Azizan perlu memaklumkan kepada PAS Pusat sebelum tempoh perkhidmatan dua Exco itu berakhir 7 Mac depan

Tiada ulasan: