Selasa, 14 Februari 2012

Pakatan janji kembalikan undang-undang dirombak Dr M jika memerintah



Mohd Dzaiddin mendakwa perubahan yang dilakukan oleh
Dr Mahathir telah melemahkan sayap badan kehakiman.
— Gambar fail


PETALING JAYA — Pakatan Rakyat (PR) hari ini menegaskan ia akan mengembalikan kepada asal segala undang-undang yang telah dirombak Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi perdana menteri sekiranya perikatan pembangkang itu berjaya memenangi pilihan raya yang akan datang.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata sekiranya mereka berjaya menjadi pemerintah dalam pilihan raya umum akan datang, perubahan seperti yang dikenakan ke atas Perkara 121 dalam Perlembagaan Persekutuan akan dikeluarkan supaya ia kembali kepada keadaan sebelum tahun 1988.

“PR bersetuju dengan pandangan bekas (ketua hakim Tun Mohd Dzaiddin Abdullah) itu, dan kami akan mengembalikan undang-undang tersebut kepada asal sekiranya memerintah, iaitu dengan mengembalikannya kepada sebelum tahun 1988,” kata Lim kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menegaskan, kenyataan bekas ketua hakim itu adalah sangat berat memandangkan kenyataan beliau itu mengesahkan bahawa rombakan tersebut memberikan implikasi kepada keputusan awal penghakiman berkaitan politik.

“Kenyataan itu mengesahkan berlakunya campurtangan politik dalam badan kehakiman negara yang mana setiap keputusan perundangan dipengaruhi unsur politik.

“Sebagai contoh kes yang berlaku seperti krisis di Perak dan penghakiman terhadap diri saya sendiri,” tegasnya.

Menurut Ketua Umum PKR ini lagi, PR mahukan sebuah badan kehakiman yang bebas, dan sekiranya berjaya memerintah, perikatan pembangkang ini akan memperbetulkan perubahan yang dilakukan Dr Mahathir.

Menurut Mohd Dzaiddin, Dr Mahathir merupakan pihak yang bertanggungjawab merombak undang-undang berkenaan dan melemahkan sistem kehakiman dengan meletakkan kuasa Parlimen sebagai penentu kehakiman negara.

Bagaimanapun, Dr Mahathir Mohamad telah membidas kenyataan Dzaiddin itu dan menegaskan, dakwaan itu merupakan satu fitnah terhadapnya.

Namun begitu, beliau bagaimanapun tidak akan menyaman mereka kerana menurutnya, itu adalah perbuatan sia-sia.

Beliau turut menjelaskan, tuduhan-tuduhan itu tidak berasas dan sekiranya benar seperti dakwaan tersebut, beliau sudah pasti akan menukarkan jawatan ramai individu dalam badan guaman ketika zaman pemerintahannya itu.

“Tiada peruntukan seperti itu, dan kalau saya ada kuasa, saya akan tukar ramai orang kalau saya boleh buat demikian,” katanya lagi.

Mohd Dzaiddin Jumaat lalu dalam ucapan dasarnya meraikan ulang tahun Tunku Abdul Rahman dan Institute of Democracy and Economic Affairs (IDEAS) di Tunku Abdul Rahman Memorial berkata, pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan semasa pentadbiran Dr Mahathir pada tahun 1980-an telah melemahkan sayap badan kehakiman.

“Akibat pindaan, kuasa kehakiman mahkamah-mahkamah telah dikurangkan dan mereka hanya mempunyai kuasa apabila diberikan Parlimen,” kata Mohd Dzaiddin, dan menambah bahawa “Parlimen lebih hebat daripada badan kehakiman”.

Menurut Mohd Dzaiddin, pada tahun 1988, Ketua Hakim Tun Mohamed Salleh Abas telah disingkirkan oleh Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Mohd Dzaiddin berkata kejadian itu adalah disebabkan perbezaan dalam pendapat antara Dr Mahathir dan Salleh atas peranan-peranan dua cabang kerajaan berkenaan.

Namun demikian, Dr Mahathir menjelaskan, perkara itu bukan berlaku di atas kehendaknya, sebaliknya berdasarkan persetujuan daripada Agong ketika itu.

“Agong yang hendak Salleh Abas digugurkan, bukan atas kehendak saya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: