Isnin, 27 Februari 2012

NFC: KEADILAN desak AG percepat pendakwaan

Oleh: Mohd Martin kahar

KUANTAN – KEADILAN mendesak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mempercepatkan pendakwaan terhadap Pengerusi Pusat Fidlot Nasional (NFC), Datuk Mohamed Salleh Ismail atas pertuduhan pecah amanah.


Bagaimanapum, kata pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, tindakan pendakwaan tidak akan berlaku tanpa sebarang desakan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Segala-galanya terletak kepada politik Najib. Kalau Peguam Negara cuba menyekat pendakwaan ini, maka Najib tak usah bercakap soal transformasi,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Beliau mengulas laporan media semalam mengenai cadangan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan kepada Peguam Negara agar mendakwa Mohamed Salleh atas pertuduhan pecah amanah.

Cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara Selasa lepas bagi menyiasat beberapa perkara lain.

Menurut Rafizi, beliau yakin polis mempunyai bukti kukuh dalam kertas siasatan yang diserahkan kepada Pejabat Peguam negara, berhubung penyelewengan RM250 juta dana rakyat itu.

“Sejak dari awal pendedahan perkara ini kita dan pihak polis konsisten adanya bukti-bukti kukuh atas dakwaan pecah amanah,” katanya.

Sambil mengalu-alukan cadangan itu, Rafizi berkata, rakyat boleh menilai sejauh mana transformasi pentadbiran Najib untuk mengambil tindakan terhadap kes berkenaan.

Tiada ulasan: