Selasa, 14 Februari 2012

Mahkamah tolak rayuan PTPTN bagi batal saman


MALAYSIA KINI

Mahkamah Sesyen hari ini menolak permohonan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh seorang peminjam PTPTN.

Hakim Unaizah Mohd memutuskan plaintif mempunyai sebab untuk mengambil tindakan terhadap defendan (PTPTN) bagi saman itu dibicarakan.

Hakim menetapkan empat hari dari 9 April untuk mendengar kes itu. Beliau juga menetapkan 5 Mac bagi pengurusan kes untuk kedua-dua pihak memperincikan dokumen mereka sebelum perbicaraan.

Plaintif dijadual memanggil dua saksi manakala defendan akan memanggil tiga saksi.

Pada 20 September tahun lalu, pegawai bank, Mandeep Singh memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Sivil terhadap PTPTN bagi memfitnah dan ditahan secara salah selepas beliau disenarai hitam atas dakwaan gagal melunaskan pinjaman pelajarannya.

Mandeep, 27, menuntut RM19,000 sebagai ganti rugi khas bagi tiket penerbangan dan tempahan hotel, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mandeep berkata, di bawah perjanjian pinjaman pelajaran bertarikh 9 November 2006, PTPTN bersetuju meminjamkan RM48,000 kepadanya.

Beliau mendakwa beliau ditahan pegawai Imigresen di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang pada 6 Julai tahun lalu ketika beliau mahu berlepas untuk bercuti di Guangzhao, China.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh pegawai imigresen berkenaan yang namanya disenarai hitam dalam pangkalan data imigresen.

Bagaimanapun, beliau berkata, PTPTN gagal memadamkan namanya daripada pangkalan data itu walaupun beliau memaklumkan kepada PTPTN untuk berbuat demikian.

Susulan kejadian itu, beliau mendakwa dirinya diaibkan di depan orang ramai dan mencemarkan imejnya.

Peguam Abdul Malik Hakim mewakili Mandeep manakala peguam Farhan Abdullah mewakili PTPTN. Bernama

Tiada ulasan: