Sabtu, 4 Februari 2012

Kes bunuh Sosilawati: Dokumen milik ahli perniagaan India antara bahan dirampas

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Isteri kepada Muthuraja dijangka hadir beri keterangan Rabu


SHAH ALAM: Beberapa dokumen mengandungi nama seorang lelaki dipercayai ahli perniagaan dari India, Muthuraja Alal Kanthan, adalah antara dokumen yang dirampas daripada pejabat tertuduh pertama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Banting, dua tahun lalu.

Dokumen yang dirampas oleh saksi pendakwaan ke-97, Pegawai Turus Bahagian Operasi Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Pemangku Asisten Superintendan Koh Fei Cheow, 43, pada September 2010 itu, dikemukakan di mahkamah, semalam.

Ia adalah satu dokumen mahkamah membabitkan Muthuraja dan syarikat Southern Symphony Sdn Bhd (Southern Symphony) iaitu syarikat milik Sosilawati, satu dokumen perjanjian jual beli antara lelaki itu dengan Southern Symphony dan satu surat kuasa (Power of Attorney) kepada Muthuraja.

Turut dikemukakan di mahkamah semalam ialah sesalinan pasport dari Republik India, tetapi tidak dinyatakan milik siapa pasport berkenaan.

Selain dokumen mengandungi nama Muthuraja, ada beberapa dokumen lain yang tercatat nama seorang individu bernama Abdul Rahman Palil, termasuk empat memorandum persefahaman (MoU) antara Abdul Rahman, N Pathmanabhan dan dua individu lain.

Fei Cheow turut mengemukakan tiga surat kuasa kepada syarikat Southern Symphony, resit rasmi dari Mahkamah Agung, salinan perjanjian jual beli antara seorang individu bernama Mohd Firdaus Palil dengan syarikat Ample Quality, pelbagai cek, salinan kad pengenalan beberapa individu, termasuk Abdul Rahman dan Mohd Firdaus serta perjanjian jual beli antara Southern Symphony dan Ample Quality.

Bagaimanapun, mahkamah tidak dimaklumkan identiti sebenar individu yang namanya ada dalam dokumen dikemukakan.

Ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon, Fei Cheow mengakui tugasnya ialah untuk merampas fail dan menyerahkan dokumen yang dirampas kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Ishak Yaacob.

Beliau juga mengakui tidak tahu apa yang dilakukan Mohd Ishak terhadap dokumen yang sudah diserahkan itu selain memaklumkan dokumen berkenaan tidak dipulangkan semula kepadanya.

Beliau memberi keterangan terhadap peguam, N Pathmanabhan, 43 dan tiga bekas pekerja ladang, T Thilaiyagan, 21; R Matan, 22 dan R Khatavarayan, 32, yang didakwa membunuh Sosilawati, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot Nombor 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, 30 Ogos 2010.

Difahamkan, isteri kepada Muthuraja dijangka hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan Rabu ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung 8 Februari ini.

Tiada ulasan: