Sabtu, 18 Februari 2012

Kerajaan Negeri sedia debat isu pasir

RISWANDI RAZAK

Yaakob Sapari

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri bersedia menerima sebarang cabaran untuk berdebat dari mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor dalam isu pasir.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, pihaknya tidak khuatir sekiranya pembangkang negeri mahu meletakkan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebagai wakil.

Menurutnya, cabaran debat ini penting bagi membuka mata rakyat bagi membandingkan pengurusan kerajaan terdahulu dengan kerajaan sekarang.

“Kita sentiasa bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa dalam isu ini, saya sebagai exco juga akan menerangkan kepada mereka tentang pelbagai persoalan dan perbandingan di antara pentadbiran dahulu dan sekarang.

“Antaranya, persoalan mengapakan ketika zaman pemerintahan BN, mereka dapat sedikit keuntungan iaitu sebanyak 4.7 pada 2008, sedangkan zaman PR sebanyak 42 juta diperoleh pada 2011 lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada Kerajaan Negeri bersedia berdebat dengan mana-mana pihak termasuk BN, dalam isu pasir di Negeri Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik itu turut mendakwa, ketika pentadbiran BN, hanya satu kontraktor pasir dilantik, manakala sebanyak 33 kontraktor berdaftar dilantik semasa pentadbiran PR.

“Kesemua 33 kontraktor ini dilantik menerusi proses tender, berbeza dari proses pelantikan kontraktor pada zaman BN,” katanya.

Yaakob berkata, sekiranya Noh mempunyai bukti penyelewengan pasir, beliau perlu menghantar bukti tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Transparency International (TI).

“Beliau mempunyai dua saluran yang boleh digunakan sekiranya mempunyai bukti tersebut, jangan risau kredibiliti dua agensi ini,” katanya.

Perdebatan dalam isu pasir di antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Noh telah bermula, apabila Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mendakwa mempunyai bukti salah guna kuasa dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), sebelum ini.

Oleh yang demikian, pada 15 Februari lalu, Abdul Khalid meminta Noh memberi kerjasama bagi memastikan dakwaan itu benar-benar wujud atau hanya sekadar tuduhan politik.

Manakala, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pula mencabar Abdul Khalid agar mengadakan ‘perbicaraan’ secara terbuka kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini.

Noh berkata, beliau bersedia untuk menghadiri perbicaraan itu dengan membawa segala bukti dan dokumen serta akuan bersumpah orang-orang terlibat.

Tiada ulasan: