Selasa, 28 Februari 2012

Jingga 13 hantar memorandum ke kedutaan Palestin

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: NGO Jingga 13 akan menghantar memorandum ke kedutaan Palestin bagi mendedahkan hubungan dagang antara kerajaan Malaysia dan Israel pada 2 Mac ini.


Ketua penyelarasnya, Fariz Musa, berkata, memorandum berkenaan bagi menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin dan membantah tindakan kerajaan Umno membenarkan kapal-kapal Israel masuk ke pelabuhan Malaysia.

“Memorandum tersebut akan turut disertakan segala dokumen, rakaman video dan gambar sebagai bukti bahawa wujud segala pengkhianatan oleh kerajaan Umno-BN, yang telah mengkhianati rakyat Palestin melalui hubungan dagang antara Malaysia -Israel,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu beliau menyeru wakil NGO, parti politik dan seluruh rakyat Malaysia bersama hadir menyerahkan memorandum berkenaan selepas solat Jumaat.

Sebelum ini, Jingga mendedahkan wujud hubungan dagang antara Umno-BN dengan Israel menerusi kemasukan kapal ZIM USA dan ZIM Atlantik, yang dimiliki ZIM Integrated Shipping LTd, berpengkalan di Haifa Israel.


Pada 22 Febuari lalu, Jingga 13 turut mengadakan perhimpunan aman membantah kemasukan kapal kargo berkenaan ke Malaysia di hadapan pintu masuk westports, Pelabuhan Klang.

Menurut Fariz, beliau turut memiliki dokumen rakaman video serta gambar mengenai kehadiran kapal berkenaan.

“Kehadiran serta hubungan perdagangan tersebut membuktikan kerajaan Umno-BN mengiktiraf negara haram Isreal walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik .

“Sikap dan tindakan tersebut menunjukkan sikap hipokrit kerajaan UMNO-BN terhadap seluruh rakyat Malaysia dan Palestin. Mereka konon menyokong perjuangan rakyat Palestin tetapi sebenarnya mengkhianati rakyat Palestin yang dizalimi Israel,” tegasnya.

Tiada ulasan: