Isnin, 20 Februari 2012

Jentera BN Digesa Tidak Leka Dengan kesan Pendedahan Dr Hasan Ali

MSTAR ONLINE

MUAR: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, digesa tidak leka dengan kesan positif yang diperoleh hasil pendedahan kepincangan PAS oleh Datuk Dr Hasan Ali.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim sebaliknya mahu jentera itu meneruskan usaha mendekati rakyat kerana merekalah yang akan menentukan nasib parti dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

"Memang siri jelajah Dr Hasan Ali banyak memberi faedah kepada BN, tetapi kita tidak boleh leka sebaliknya terus mendekati rakyat kerana mereka yang akan menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan jentera Pergerakan Wanita Umno bahagian Muar di Dewan Tun Sulaiman di sini, Ahad.

Beliau berkata tindakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu memberi peluang kepada BN untuk menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat tanpa halangan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu diminta mengulas perkembangan terbaru siri jelajah bekas Exco Selangor tersebut, yang didakwa mampu mengumpul sehingga 15,000 orang pada satu-satu ceramahnya.

"PAS terpaksa mengambil masa yang banyak untuk membuat penjelasan kepada ahli mereka tentang perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dr Hasan Ali, dan ini memberi masa kepada BN untuk bekerja tanpa gangguan," katanya.

Bagaimanapun, Razali berkata ia tidak boleh dijadikan batu loncatan sehingga BN berasa selesa kerana situasi PRU-13 adalah berbeza.

Beliau turut mengakui isu yang dibangkitkan Hasan akan membantu membuka mata rakyat terhadap kebenaran perjuangan Umno iaitu untuk agama Islam, bangsa Melayu dan memartabatkan institusi Raja-Raja Melayu.-BERNAMA

Tiada ulasan: