Jumaat, 17 Februari 2012

Isu pasir: Noh Cadang Kerajaan Selangor Wujud "Mahkamah Rakyat"

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA SELANGOR : Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sekali lagi mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor agar tidak bermain politik berhubung isu penyelewengan pasir di negeri itu.

Malah beliau turut mencabar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengadakan ‘perbicaraan’ secara terbuka kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini.

Noh berkata, beliau bersedia untuk menghadiri perbicaraan itu dengan membawa segala bukti dan dokumen serta akuan bersumpah orang-orang terlibat.

“Kenapa saya perlu tampil dan kemuka bukti kepada TI (Transparency International) sedangkan Kerajaan Negeri sendiri tidak meyakinkan rak­yat bahawa ada tindakan selepas penyiasatan dilakukan.

“Pada saya, Kerajaan Negeri tidak jujur dan tidak telus kerana sehingga hari ini siasatan Selcat (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ke­telusan) dibuat secara tertutup tidak pernah diumumkan keputusannya malah, berhenti separuh jalan,” katanya, semalam.

Noh berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam yang mahu beliau tampil memberikan maklumat berhubung dakwaan isu penyelewengan pasir kepada ahli panel TI.

Isu pasir kembali hangat apabila pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mendedahkan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie bersama Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari didakwa terlibat dengan skandal itu.

Pendedahan itu bukan pertama kali kerana sebelum ini, Ahli Parlimen Kapar dari PKR, S Manikavasagam membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Noh turut menyindir Kerajaan Negeri yang bersikap ‘double standard’ kerana apabila ada kes melibatkan bekas pemimpin BN, Selcat telah dijalankan secara terbuka tetapi bila ada dakwaan penyelewengan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang semuanya ditutup.

“Apabila kes tidak diselesaikan Selcat, sudah tentu isu pasir tidak boleh dibangkitkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri. Apakah Selcat ini ditubuhkan hanya untuk mencari keburukan dan kelemahan pemimpin BN sahaja, tetapi apabila melibatkan pemimpin pakatan pembangkang semuanya didiamkan?” katanya.

Beliau berkata, sekiranya perbicaraan rakyat itu diadakan, Abdul Khalid perlu bersedia untuk mengambil sebarang keputusan walaupun terpaksa meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

“Jika saya bersedia menerima sebarang keputusan sekiranya bersalah, Abdul Khalid juga perlu bersedia bertindak seperti letak jawatan atau pecat dua Adun yang didakwa melakukan penyelewengan itu atau bubarkan sahaja KSSB.

“Saya mahu perjanjian ini dibuat lebih awal dan terpulang kepada Kerajaan Negeri untuk menyatakan persetujuan dalam masa terdekat. Lagi cepat lagi bagus bagi memperjelaskan isu pasir ini kepada rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: