Isnin, 27 Februari 2012

Isu Exco Kedah dapat diselesai dengan baik

Muhammad Faizal,

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang mewakili PAS Pusat bagi menyelesaikan isu pelantikan Exco Kerajaan Kedah berkata, perkara itu akan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

"Kita akan mencari jalan penyelesaian dan saya yakin kemelut tersebut akan dapat diselesaikan sebaik mungkin.

"Isu kekal atau tidak sebagai exco adalah perkara biasa dalam setiap pentadbiran kerajaan dan ia bukan masalah yang rumit untuk kita selesaikan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, hari ini.

Begitupun, tambahnya lagi, PAS Pusat mengganggap ia satu masalah yang serius dan memerlukan campur tangan daripada pemimpin peringkat tertinggi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula menjelaskan kepimpinan PAS di peringkat pusat sedang memberi perhatian penuh terhadap isu berhubung pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah.

Jelasnya lagi, PAS Pusat sedang menilai situasi sebenar yang berlaku dan sedang mengambil maklum balas daripada semua pihak sama ada di kalangan pimpinan pentadbiran negeri mahupun kepimpinan parti di Kedah.

"Kami percaya apa sahaja tindakan yang diambil oleh pemimpin dan anggota parti dalam isu ini adalah berasaskan hasrat untuk memperkukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri tersebut.

"PAS Pusat akan terus mengambil langkah-langkah lanjut untuk memastikan kelicinan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan ianya dapat terus dipertingkatkan lagi di samping barisan kepimpinan yang diberi amanah oleh parti dan rakyat dapat diterima dan didokong oleh semua pihak," jelasnya.

Setiausaha Agung itu yakin dengan kematangan semua pemimpin dan ahli-ahli PAS di Kedah, inisiatif terbaik akan dapat dicapai.

Ketika ditanya adakah perbincangan telah diadakan di peringkat pusat sebelum ini, beliau memberitahu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak telah bertemu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 17 Februari lepas.

"Pada pertemuan tersebut, Azizan menjelaskan kesepuluh exco tersebut akan dikekalkan kerana kepimpinan kesemua mereka dapat memperkemaskan pentadbiran Negeri Kedah.

"Namun disebabkan oleh ada masalah teknikal, hanya lapan exco sahaja akan mengangkat sumpah pada 28 Februari (esok), dan yang dua lagi akan ditentukan kemudian," katanya.

Majlis angkat sumpah bagi pelantikan lapan Exco Kerajaan Negeri Kedah bagi 2012 akan berlangsung di Istana Anak Bukit, esok manakala dua lagi akan diisi kemudian.

Tiada ulasan: