Selasa, 7 Februari 2012

Gantung terus


Ghani Minhat


KUALA LUMPUR - Jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu bersikap lebih tegas dalam membendung rasuah bola sepak untuk jangka panjang, pemain-pemain yang pernah terlibat dengan rasuah tidak perlu diberikan muka dengan hanya penggantungan berbentuk sementara.

Sebaliknya, hukuman seumur hidup mungkin wajar dikenakan sebagai peringatan paling bermakna kepada semua pemain lain agar jangan sekali terlibat dengan rasuah pada masa akan datang.

Kewajaran hukuman tersebut telah disuarakan Raja Bola, Datuk Abdul Ghani Minhat yang berkata, tiada guna memberi peluang kali kedua kepada pemain-pemain yang sudah terpalit dengan imej rasuah.

''Pada pandangan saya, kalau hendak gantung, biar gantung terus sampai bila-bila, kenapa hendak simpan lagi pemain yang pernah terlibat dengan rasuah.

''Tidak perlu hendak gantung dalam tempoh masa tertentu sahaja kerana sudah tahu nilai kejujuran mereka macam mana (pemain terlibat dengan rasuah), kita tidak pasti sama ada mereka akan mengulangi masalah yang sama pada masa akan datang.

''Harap FAM mengambil serius akan masalah rasuah ini dan diharapkan tidak akan berulang, " katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Apa yang disuarakan oleh bekas legenda bola sepak negara itu mungkin ada kebenarannya dengan mengambil contoh krisis rasuah yang berlaku pada pertengahan 90-an.

Pada waktu itu, FAM melakukan 'operasi pembersihan' secara besar-besaran apabila menggantung seumur hidup semua pemain yang terlibat walaupun mengorbankan ramai pemain berbakat besar dan berstatus kebangsaan.

Kesannya, tiada lagi kedengaran kes rasuah dalam tempoh 16 tahun selepas itu sebelum arena bola sepak digegarkan lagi dengan gejala mengatur perlawanan pada tahun lalu.

Pada 4 Februari lalu, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengesahkan sebanyak 18 pemain dengan enam masing-masing dari skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar akan menghadapi penggantungan dua hingga lima tahun daripada menyertai sebarang pertandingan anjuran FAM.

Sementara seorang jurulatih dari Piala Presiden Negeri Sembilan sahaja bakal dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup.

Sementara itu, Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula berkata, isu gaji yang rendah atau tertunggak sahaja belum pasti dapat menjamin gejala rasuah pada masa hadapan.

''Masalahnya, tawaran yang diberikan oleh bookie ini difahamkan kadang-kadang terlalu tinggi dan ada pemain tidak boleh kawal diri walaupun gaji yang mereka terima sudah tinggi.

''SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) perlu terus memantau dari setiap masa seperti mana yang mereka lakukan sekarang supaya pemain sentiasa dapat beringat untuk menjauhi rasuah," katanya.

Tiada ulasan: