Isnin, 20 Februari 2012

Dua disimbah asid ketika tidur



Mohd. Hamizi Hussin menunjukkan bantal yang rosak akibat terkena simbahan cecair dipercayai asid di Kampung Padang Merchang, Marang, semalam.

MARANG - Seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan rakannya melecur di muka dan badan akibat disimbah asid ketika tidur di sebuah rumah di Kampung Padang Merchang di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, Mohd. Fazil Hanafi Idrus, 18, dan Shahrulzaman Salim, 38, yang bekerja sebagai nelayan cedera disimbah asid yang dilakukan individu tidak dikenali.

Menceritakan kejadian itu, Shahrulzaman memberitahu, ketika kejadian, dia dan Mohd. Fazil sedang tidur dalam sebuah bilik sebelum terjaga selepas dikejutkan dengan jeritan rakannya itu yang mengadu kesakitan.

Tanpa menyedari dia turut terkena simbahan asid itu, Shahrulzaman bingkas bangun dan bertanyakan keadaan rakannya.

"Saya cuba bertanya kepadanya apa yang berlaku, namun pada masa yang sama saya turut merasa pedih di muka dan badan.

"Beberapa minit selepas itu, baru saya sedar rupa-rupanya saya turut terkena simbahan asid itu," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Shahrulzaman berkata, selepas menyedari mereka disimbah asid, dia dan Mohd. Fazil segera berlari keluar dari rumah dan membasuh cecair yang disimbah kepada mereka.

Menurutnya, sebelum itu, mereka tidur di dalam bilik sambil membiarkan tingkap terbuka bagi menerangi bilik selain mengurangkan panas.

"Saya syak individu yang menyimbah asid itu melakukan perkara tersebut melalui tingkap berkenaan namun saya tidak tahu mengapa dia berbuat demikian," jelasnya yang simpati terhadap nasib rakannya yang lebih teruk melecur berbanding dirinya.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mereka melecur di muka, tangan dan kaki dan terpaksa dirawat di Unit Kebakaran HSNZ.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, Mohd. Hamizi Hussin, 29, yang juga rakan mangsa memberitahu, kedua-dua rakannya itu sering datang ke rumahnya setiap hari untuk menonton perlawanan bola sepak.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila dihubungi salah seorang rakan yang memaklumkan bahawa kedua-dua mereka cedera disimbah sejenis cecair.

"Sebelum kejadian, terdapat enam rakan saya berada dalam rumah itu. Saya kemudian keluar untuk menghantar pekerja kilang di Chendering.

"Kira-kira lima minit selepas saya keluar, seorang rakan menghubungi saya dan memaklumkan kejadian ini menyebabkan saya segera pulang untuk menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Merchang," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa mengesahkan mengenai kejadian itu dan memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: