Rabu, 29 Februari 2012

Dana politik: Usaha lemahkan Pakatan

Charles Santiago mempersoalkan tujuan sebenar Perdana Menteri tetapi beliau mahu sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengawal dan memantau cadangan itu.



PETALING JAYA: Cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar semua sumbangan dana politik disalurkan melalui akaun rasmi parti disifatkan pemimpin pembangkang sebagai usaha mengekang dan melemahkan Pakatan Rakyat.

Naib Pengerusi DAP Selangor Charles Santiago, mempersoalkan tujuan sebenar Najib tetapi beliau mahu sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengawal dan memantau cadangan itu tanpa membabitkan kerajaan.

“Ini merupakan cadangan yang bagus tapi perlu ada suruhanjaya bebas yang dipercayai dapat mengawal dan memantau kerana kerajaan sama sekali tidak boleh ikut campur dalam hal ini.

“Tetapi apakah tujuan sebenar kerajaan? Adakah mereka takut pembangkang mula kuat maka ia dilakukan untuk melemahkan Pakatan.

“Jika mereka benar-benar telus maka perlu ada suruhanjaya bebas untuk memantau parti politik termasuk Umno tentang sumber dana mereka.

“Jika PM telus dan bertanggungjawab maka beliau perlu segera umum semua sumber pendapatan dalam Umno,” kata Ahli Parlimen Klang itu kepada FMT.

Beliau berkata kerajaan tidak boleh menjadi pemantau memandangkan akan wujud pertembungan kepentingan kerana hubungan rapat kerajaan dengan Barisan Nasional (BN).

Katanya, cadangan itu bukan untuk mengurangkan rasuah daripada berlaku tetapi bertujuan untuk menghukum dan menakutkan individu lain daripada membantu parti dari segi kewangan.

“Secara tak langsung hal ini akan menyukarkan parti. Bila wujud campur tangan dan pengaruh individu tertinggi maka ahli perniagaan atau orang lain yang ingin membantu parti dari segi kewangan akan takut berbuat demikian,” katanya.

Najib kelmarin berkata, perkara itu bagi mengelak ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta sumbangan dan kemudian diseleweng untuk kepentingan sendiri.

Beliau menjelaskan inisiatif baru yang diperkenalkan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu juga bertujuan menangani isu berkaitan dana politik supaya ia lebih tepat, telus dan jelas, sekali gus meningkatkan ketelusan serta keyakinan rakyat terhadap parti politik di negara ini.

Berat sebelah


Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pula, cadangan Najib itu disifatkan sebagai berat sebelah dan sebagai satu percubaan untuk menjadikan Pakatan sebagai mangsanya.

Ujar beliau, jika dahulu ahli perniagaan mahupun para penderma lain tidak teragak-agak untuk menderma secara terbuka, namun apabila Najib mengumumkan hal itu ia akan memberi tekanan kepada pihak berkenaan.

“Cadangan ini berat sebelah untuk menindas Pakatan sebab jika beliau (Najib) serius tentang transformasi maka beliau boleh ambil contoh model di Jerman.

“Semua parti yang lebih undi di kawasan tertentu di peringkat kebangsaan dibiayai oleh pembayar cukai maka tidak timbul parti untuk mengemis mencari dana dan tidak terlalu sibuk untuk mencari publisiti,” katanya.

Tegas Rafizi lagi, isu utama bukan dana itu diberi kepada parti tetapi pihak yang mempunyai kuasa tertinggi mampu untuk memanipulasi keuntungan yang diterima.

“Jika ia jadi undang-undang maka ahli perniagaan tidak akan membantu secara terbuka kerana bimbang ini memberi tekanan kepada mereka.

Namun isu sebenar bukanlah dana itu akan diterima dimasukkan ke dalam akaun parti tetapi pihak yang punya kuasa tertinggi mampu memanipulasi keuntungan secara terbuka sedangkan ia satu tindakan rasuah,” jelas beliau.

Masalah rasuah


Sebaliknya bagi Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar pula berkata masalah rasuah yang dibangkitkan oleh Najib tidak akan selesai, sekiranya sumber dana itu boleh dipersoalkan.


Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengamalkan pemberian insentif kepada setiap parti politik bagi mengelakkan mereka menerima dana daripada sumber-sumber yang salah.

“Persoalannya bukan masuk dalam dana parti tapi ianya dari sumber mana mereka dapat. Memang tidak wajar sebarang dana dimasukkan dalam akaun individu.

“Malah benda rasuah masuk dalam akaun pun tetap rasuah. Sumber dari hubungan yang rapat dengan ketua atau pemimpin parti yang dikuasai parti sehingga dapat peluang projek tertentu maka sumber ini yang diragui.

“Yang penting melipat gandakan usaha membasmi rasuah. Dah tiba masa untuk kerajaan amalkan dengan memberi insentif kepada setiap parti politik dan sewajarnya insentif ini turut diberi kepada pembangkang,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Tiada ulasan: