Sabtu, 18 Februari 2012

Bapa kejam dipenjara

SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

Anak koma

AYER KEROH - Seorang bapa sanggup bertindak kejam, memukul anaknya menggunakan besi, seterika dan botol sos, selain menumbuk dan menendang hingga menyebabkan mangsa koma selama 12 hari, hanya kerana mahu ‘mengajar’ anaknya yang nakal.

Akibatnya, bapa kepada lima anak yang bekerja sebagai penebang pokok, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
M Anbalagan, 39, dari Pulau Sebang, Alor Gajah, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Ahmad Sazali Omar selepas dia menukar penga­kuan kepada bersalah pada hari perbicaraan, semalam.
Anbalagan didapati mendatang kecederaan parah dengan menggunakan sebatang besi ke atas seorang lelaki berusia 17 tahun di sebuah rumah di Taman Baiduri, Pulau Sebang, Alor Gajah, kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi pada 14 Julai 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Anbalagan menangis memohon hukuman diringankan kerana insaf dengan perbuatannya itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pen­dakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat meminta mahkamah memberikan hukuman berat.
“Mangsa adalah anak sulung daripada lima beradik. Apa juga alasan diberikan tertuduh tidak boleh dijadikan sebab yang membenarkan dia bertindak sedemikian rupa terhadap anak kandungnya.
“Akibat perbuatannya, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan seluruh tubuh selepas dipukul menggunakan besi, seterika, botol sos dan mangkuk kaca selain ditumbuk dan ditendang,” katanya.

Tiada ulasan: