Khamis, 9 Februari 2012

Azizan Nafi Letak Jawatan

Post Pic

ANATARA POS.COM


SHAH ALAM : Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan beliau akan meletak jawatan susulan kemelut isu penggantungan pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) milik kerajaan negeri.

Azizan menolak laporan sebuah portal berita semalam bahawa beliau mengemukakan surat perletakan jawatan dan menyifatkannya sebagai cubaan pihak tertentu untuk mengenakan tekanan mental terhadap beliau.

Beliau percaya laporan itu didalangi oleh pihak yang mahu melihat beliau meninggalkan Pas.

“Ia mungkin dilakukan oleh orang di luar parti yang mahu melemahkan kerajaan negeri pimpinan beliau,” katanya.

Azizan sebelum ini dikritik oleh kalangan pimpinan Pas, Dap dan PKR berhubung tindakannya menyokong tindakan KUIN menggunakan akta-akta yang sedia ada terhadap lima pelajar yang menyertai sebuah tunjuk perasaan di kolej itu tahun lalu.

Tindakan beliau dilihat bertentangan dengan dasar Pakatan yang mahu memansuhkan undang-undang itu termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Dalam pada itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menafikan wujud konspirasi untuk menyingkirkan Azizan dan menyifatkannya sebagai pem­bohongan besar untuk menjejaskan hubungan baik antara PKR, Pas dan DAP.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai ke­wujudan konspirasi yang kononnya sedang giat digerakkan beberapa bulan lalu, malah percaya ianya tidak pernah wujud, lapor Sinar Harian.

“PKR tiada masalah untuk bekerja­sama dengan Pas dan DAP selama ini. Hubungan yang terjalin sejak sekian lama tidak pernah digugatkan dengan isu-isu semasa, malah wujud per­sefahaman yang baik di Kedah,” katanya,

Wan Salleh mengulas laporan se­buah akhbar kelmarin, yang men­dakwa pemimpin dan ahli PKR Kedah dipercayai terbabit dalam usaha me­nyingkirkan Azizan dengan mem­bang­kitkan pelbagai isu untuk menjejaskan imej Menteri Besar itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Laporan itu menyebut, sumber dalaman Pas yang mendedahkan per­kara itu memaklumkan konspirasi itu telah wujud sejak beberapa bulan lalu.

Wan Salleh berkata, PKR sentiasa menyokong apa juga dasar yang di­bawa oleh Azizan dalam pentadbiran, malah sentiasa berdiri teguh di be­lakangnya terutama mempertahan tindakan Azizan dalam menyelesaikan banyak isu berbangkit.

“Apakah bukti PKR sentiasa cari pasal mahu jatuhkan Azizan? Setahu saya, ahli dan pemimpin PKR yang se­ring bangkit mem­pertahan keputu­san yang dibuat. Kami sokong atas dasar Pakatan Rakyat (PR), dan tidak pernah ragui kepimpinan­nya,” katanya.

Wan Salleh turut meragui ke­nyataan sumber dalaman Pas itu, yang tidak diketahui kesahihannya.

“Kita tidak tahu siapa yang mem­buat kenyataan itu. Sumber daripada mana? Mungkin sumber itu mahu melihat hubungan Pas,PKR dan DAP retak, dengan mengada-adakan cerita tidak betul seperti ini,” katanya.

Mengulas mengenai laporan terbabit yang turut menekankan kononnya pemimpin pertengahan Pas nekad menuntut semula semua kerusi PKR yang bermasalah atau lompat parti agar diserahkan kepada Pas, Wan Salleh berkata isu pengagihan kerusi bertanding pada PRU13 sudah selesai dan kini di peringkat Pusat.

“PKR tiada masalah dalam isu agihan kerusi bersama Pas kerana tidak berlaku pertindihan tuntutan kerusi antara kami. Hanya kerusi babitkan DAP dalam rundingan. Jadi soal kerusi ini tidak timbul,” katanya.

Tiada ulasan: