Isnin, 6 Februari 2012

2 MANGSA CULIK RAYU EHSAN KERAJAAN?

Oleh : MUTALIB M.D


SABAHKINI.NET sebentar tadi menerima SMS daripada Pingganan Janjalani, Koresponden Sabahkini.net di Jolo, Filipina menyatakan bahawa beliau menerima signal daripada kumpulan penculik bahawa dua rakyat Malaysia yang diculik di Selatan Filipina, Pang Chong Pong, 47 (Sarawak) dan Mohd Nazaruddin Saidin, 37 (Selangor) masih hidup; tetapi kekurangan zat makanan dan lemah.

Menurut Pingganan yang memantau pergerakan penculik memaklumkan bahawa beliau dapat menyusup masuk ke dua kumpulan berlainan dan dapat menghubungi tebusan tiga hari lalu.

Dalam SMSnya, Pingganan menyatakan kedua-dua rakyat Malaysia itu merayu agar Kerajaan Sarawak dan Selangor prihatin terhadap nasib mereka kerana mereka bimbang keselamatan mereka setelah militan Malaysia dibunuh berdekatan dengan tempat persembunyian penculik.

Pingganan tidak menyatakan berapa jumlah tebusan yang diminta tetapi hanya memaklumkan penculik belum menerima sebarang bayaran sejak mangsa diculik.

Usaha untuk menghubungi Pingganan gagal kerana beliau dipercayai cuba menyusup masuk kepada kumpulan yang ingin membeli dua tebusan berkenaan untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi.

Sabahkini.net akan cuba mendapatkan maklumat daripada Gabenor Tawi-Tawi, Haji Sadikul Sahali Adala melalui beberapa koresponden Sabahkini.net di Sulu dalam masa yang terdekat.

Tiada ulasan: