Ahad, 26 Februari 2012

12,000 Orang Saksikan Najib Ditabal Imam Khalifah Agong Silat Pusaka Gayong

Post Pic

ANTARA POS.COM


GURUN : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima anugerah Imam Khalifah Agong Gayong, sekali gus menjadikan beliau pemimpin tertinggi yang menerima anugerah itu daripada Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.
Anugerah itu yang membawa gelaran Sri Tri Buana Gangga Simanjakani Chula Sakti disampaikan oleh Yang Dipertua pertubuhan itu, Datuk Raja Abdul Majid Raja Mat Isa.
Anugerah itu adalah pengiktirafan persatuan untuk pemimpin yang mempamerkan ciri-ciri kepimpinan tertinggi di samping menyumbang kepada jati diri Melayu.
Ia meletakkan Najib sebagai penyandang gelaran kebesaran tertinggi dalam pertubuhan itu. Najib menjadi ahli silat seni gayung sejak beliau menjadi Menteri Besar Pahang.
Pada majlis yang diadakan di Kompleks Sukan Kriss Modenas di sini, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menerima anugerah yang membawa gelaran Sri Pelangi Srikandi Utama.
Upacara pertabalan itu berlangsung dalam upacara penuh tradisi yang merungkai sejarah pahlawan Melayu di saksikan oleh kira-kira 12,000 orang.
Dalam ucapannya pada Himpunan Raksasa Perpaduan Gayong, Najib merakamkan rasa terharu beliau di atas penghormatan yang diberikan oleh Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga di atas gelaran yang diberikan kepada saya dan isteri saya,"katanya.
Najib sekali lagi menegaskan kerajaan pimpinan beliau komited membantu seni silat untuk ia terus berkembang menjadi warisan yang dibanggakan selain untuk membina jati diri Melayu.
Sehubungan itu, sebuah yayasan di atas nama Datuk Meor Abd Rahman selaku pengasas silat gayong, akan ditubuhkan dan peruntukan sewajarnya akan disalurkan oleh kerajaan, kata beliau.
Najib menegaskan yayasan itu akan berperanan mengembangkan seni, ilmu dan nilai yang menjadi teras silat gayong kepada kumpulan sasaran.
"Saya bersetuju supaya peruntukan sewajarnya diberikan bagi membangunkan gelanggang silat. Saya akan berbincang dengan ayahanda Datuk Raja Abdul Majid tentang peruntukan ini,” kata Perdana Menteri.
"Wadah perjuangan seni silat gayong berkait rapat dengan wadah perjuangan Umno iaitu perjuangan yang tidak ada noktah, tidak akan sampai ke garisan penamat," katanya.
Perdana Menteri menyifatkan seni silat gayong sebagai penting kepada perpaduan Melayu dan wadah perjuangan di atas nama bangsa, agama dan negara.
"Andai (kita) ingin mencapai perpaduan nasional maka sendi utamanya ialah perpaduan orang Melayu dan perpaduan melalui seni silat gayong adalah sebahagian perpaduan bangsa Melayu," katanya.
Beliau berkata seni silat gayong bukan sahaja bermaksud menonjol dari segi luaran dan kekuatan fizikal, tetapi turut membentuk dan menggilap semangat perjuangan dan jati diri pesilat yang diwarisi sejak turun temurun.

Tiada ulasan: