Rabu, 18 Januari 2012

Yunus Dilantik Exco Baru Sebab Boleh Kerja, Kata MB, Rani: Saya Tak Sedih

Post Pic



SHAH ALAM :Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan memilih Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri baru dan bukannya Pesuruhjaya Pas Negeri Dr Rani Osman adalah berasaskan kepada faktor kemampuan kerja.
"Perlantikan ini adalah pertimbangan kita ...atas dasar kerja," kata beliau pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah oleh Yunus di depan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam pagi tadi.
Dr Rani yang juga Adun Meru berkata, beliau tidak sedih kerana tidak dipilih mengisi kekosongan jawatan itu berikutan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS minggu lalu.
"Saya tak sedih, kalau saya dilantik saya redha dan sekiranya saya tidak dilantik pun saya akan lebih rehda," kata beliau.

Yunus berkata, beliau terkejut dengan perlantikannya tetapi akur dengan keputusan itu.

"Kita meletakkan Dr Rani sebagai calon yang kita cadangkan.Tapi sepertimana yang Menteri Besar beritahu, atas pertimbangan berdasarkan kerja (saya dipilih).Tapi saya tidak menyatakan yang Dr.Rani tak boleh buat kerja. Ini mungkin saya sudah memegang pembantu Belia dan Sukan sebelum ini jadi nak memudahkan kerja," kata beliau.
Pas Selangor mencadangkan Rani sebagai calon tunggal untuk jawatan itu namun Khalid, atas keputusan Presiden Parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, mengusulkan pelantikan Yunus untuk mengisi kekosongan berkenaan.
Adalah difahamkan nama beliau dipersembahkan kepada Istana lewat malam tadi bagi menbolehkan majlis angkat sumpah diadakan pagi tadi.
Rani hadir pada majlis itu.
Sementara itu, Naib Presiden Pas Mahfuz Omar ketika dihubungi Antarapos.com enggan mengulas rasional parti itu tidak mencalonkan Rani. Beliau berkata penampilan Yunus adalah usaha berterusan parti itu mengasah kepimpinan pelapis dalam parti.
"Ini juga memberi satu gambaran bagaimana kita (PAS) mampu dan berjaya menampilkan barisan kepimpinan muda yang berprofesional dan berkelayakan," kata beliau kepada Antarapos.com.
Hasan digugurkan sebagai Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam beberapa hari selepas Pas memecatnya daripada parti itu kerana didakwa bertindak membelakangkan kepentingan Pas.

Tiada ulasan: