Jumaat, 6 Januari 2012

Utusan pentas untuk bekas rakan 'bidas' Anwar

MALAYSIA KINI

Selepas penulis blog Raja Petra Kamarudin, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menemubual pula bekas rakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - sasarannya kini kepada rakannya yang berlatarkan pengajian Islam.

Aktivis Islam Ismail Mina Ahmad - antara pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia bersama Anwar - mendakwa bekas rakannya itu "cenderung kepada fahaman pluralisme agama".

anwar ibrahim in seremban 4Ismail, adalah rakan Anwar sewaktu mereka menuntut di Universiti Malaya (UM) dan beliau pernah menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Mereka turut terlibat membangunkan Yayasan Anda.

Menurut akhbar harian milik Umno itu, Ismail 'meninggalkan' Anwar setelah mendapati ketua pembangkang itu berpegang kepada "fahaman yang boleh merosakkan akidah".

"Saya meninggalkan keputusan meninggalkan beliau kerana fahaman pluralisme boleh membawa kepada kekufuran," kata Ismail dipetik dalam temubual yang diterbitkan dalam akhbar itu hari ini.

Pluralisme agama adalah satu fahaman yang menyamaratakan semua agama yang mana penganutnya mempercayai semua agama adalah benar.

Mengulas mengenai kempen membebaskan Anwar yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat pada 9 Januari ini, Ismail Mina yang juga ahli jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), berkata "syariat Islam sangat melarang untuk memperjuangkan seseorang individu".

Pluralisme agama, dilarang

Temubual Ismail itu diterbitkan selepas akhbar itu menyiarkan wawancara bersama Raja Petra yang dilapor menyifatkan Anwar bukan lagi pilihan rakyat untuk menjadi perdana menteri dan dikaitkan dengan isu homoseksual.

Dalam temuramahnya, Ismail mendakwa Anwar menyatakan sokongannya kepada pluralisme agama sewaktu menyampaikan ucapan di London School of Economics pada 18 Mac 2010.

Bagi menguatkan hujahnya Ismail berkata semua buku yang diterbitkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) - sebuah kumpulan pemikir yang dikaitkan Anwar - "semuanya adalah berfahaman Liberal-Pluralisme".

Ismail juga turut mengkritik pemimpin Islam lain yang masih memberi sokongan kepada ahli parlimen Permatang Pauh itu.

"Tengok, kalau dulu kami dalam ABIM, tolak Arqam kerana mereka merosakkan akidah, tapi bila Anwar yang terang-terang tulis dan ucap perkara yang bercanggah dengan akidah, mereka masih mahu mempertahankannya.

"Adakah perjuangan mereka mahu membela akidah atau membela orang yang rosak akidah?" Ismail dipetik sebagai menjawab soalan Utusan itu.

Tiada ulasan: