Isnin, 2 Januari 2012

‘Tindakan polis era Najib mirip kaedah otokratik Mahathir’, kata pemuda PKR


KUALA LUMPUR— Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan kasar polis ke atas mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan menyifatkan pendekatan diambil pentadbiran Najib “mirip” kaedah otokratik yang diamalkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin, insiden yang berlaku awal pagi tadi yang menyaksikan seorang mahasiswa mengalami kecederaan merupakan tragedi hitam dalam sejarah gerakan kebebasan akademik.

Tambah beliau, ia juga merupakan satu penghinaan kepada mahasiswa.

“Apakah layak bagi sekumpulan mahasiswa yang berhimpun bagi tujuan menuntut kebebasan akademik dilayan dan diperlakukan sedemikian zalim oleh pihak berkuasa? Insiden ini jelas menzahirkan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak serius dalam usaha meminda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan ia tidak lebih sekadar gimik politik murahan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Apa yang berlaku semalam membuktikan bahawa pendekatan pentadbiran Datuk Seri Najib kini semakin mirip kepada kaedah otokratik yang diamalkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Shamsul Iskandar, tindakan kasar polis itu juga bertentangan dengan janji Najib untuk menjadi pemimpin yang mendengar suara rakyat dan mesra belia.

“Harus diingat bahawa kejatuhan rejim di Tunisia dan Mesir bermula tatkala pihak berkuasa bertindak zalim dengan menindas anak muda dan mahasiswa. Peristiwa yang berlaku awal pagi tahun baru 2012 ini secara tersirat menandakan bermulanya kejatuhan rejim Umno-Barisan Nasional (BN),” katanya.

Awal pagi tadi beberapa mahasiswa yang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik di UPSI telah ditahan polis kerana ingkar arahan pihak berkuasa yang mengarahkan mereka bersurai.

Kumpulan mahasiswa itu mendakwa polis telah bertindak kasar dengan “memukul, menendang dan menumbuk” mereka, yang menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang (gambar) dihantar ke Hospital Slim River kerana tidak sedarkan diri.

Pemimpin PKR dan DAP mengkritik tindakan kasar polis terhadap kumpulan mahasiswa itu namun Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan anggotanya bertindak kasar semasa menghuraikan demonstrasi dengan menegaskan “tiada pergelutan” yang berlaku semasa tangkapan dibuat.

Shamsul Iskandar menambah siasatan terperinci perlu dilakukan dan anggota polis yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan.

Tiada ulasan: