Sabtu, 14 Januari 2012

Tiada keadilan untuk negeri jika BN kekal pemerintah pusat

Roketkini.com


ALOR SETAR: Kerajaan negeri yang dipilih rakyat harus dihormati oleh kerajaan pusat sebagaimana Pakatan Rakyat akan menghormati negeri Barisan Nasional apabila berlaku perubahan pemerintahan persekutuan kelak.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata, keadaan peruntukan kewangan dan hubungan antara persekutuan dan negeri yang berlakus ekarang tidak menepati konsep federalisme dan demokrasi sebenar.

“BN tidak hormat konsep federalisme, terutamanya dengan negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat,” katanya sewaktu membentangkan kertas kerja pengukuhan federalisme di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di sini hari ini.

Beliau memberi contoh penafian royalti minyak negeri Kelantan dan Terengganu oleh kerajaan pusat kawalan UMNO-BN.

“Royalti minyak 5 peratus merupakan 80 peratus dari jumlah belanjawan negeri Terengganu. Wang tersebut tiba-tiba menjadi wang ehsan yang disalurkan melalui ahli-ahli politik UMNO yang membolehkan mereka menang semula kerajaan negeri (pada 2004).

“Rakyat Terengganu tidak akan dapat keadilan jika BN kekal di pusat,” tambah beliau.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah turut menyebut perihal dana pembangunan negeri Pakatan Rakyat yang telah disalurkan melalui Pegawai Pembangunan Negeri yang dikawal Jabatan Perdana Menteri.

“Kerajaan negeri tidak ada kuasa ke atas dana negeri mereka sendiri,” jelasnya.

Beliau membentangkan lima Tawaran Jingga Pakatan Rakyat untuk perkukuh federalisme:

1. Sebahagian hasil yang dikutip di peringkat pusat akan diperuntukkan kepada negeri-negeri, bersekalian dengan penyerahan kuasa kepada negeri untuk menggunakan dana tersebut mengikut budi bicara.

Belanjawan kerajaan negeri akan dipertingkat melalui geran perkapita dan geran pembangunan ekonomi di samping royalti minyak dan gas, bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta pembangunan sosial untuk membasmi kemiskinan di negeri-negeri yang memerlukan.

2. Pastikan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dengan mempertingkat bidang kuasa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Jabatan Ketua Audit Negara supaya dapat mengambil tindakan dan mendapat kuasa pendakwaan bebas.

3. Agih kuasa pusat dalam perkara-perkara yang sepatutnya menjadi tanggungjawab negeri dan kerajaan tempatan seperti soal pengangkutan awam yang sedang dimonopoli syarikat-syarikat tertentu yang masih gagal memberikan khidmat yang memuaskan.

4. Mengkaji semula undang-undang yang melindungi monopoli kerajaan dan menyekat perdagangan antara-negeri dan antarabangsa. Undang-undang seperti Dasar Sabotaj Kebangsaan di Sabah dan Sarawak telah mengakibatkan kenaikan harga barang yang secara langsung meningkatkan kos sara hidup.

5. Iktiraf kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak serta menegaskan semula komitmen untuk mendukung dan mengukuhkan Perjanjian 20 Perkara dengan Sarawak dan Sabah; dengan meningkatkan perwakilan kedua-duanya dalam perkhidmatan awam, di samping meningkatkan autonomi dalam bidang pendidikan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: