Isnin, 2 Januari 2012

Tanpa kebebasan media, pilihan raya tidak bermakna

Pilihan raya dalam sebuah sistem demokrasi merupakan suatu 'permainan' berbentuk persepsi dan persepsi dicorak oleh media.



Gesaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua pihak diberi ruang untuk mendapat liputan berita yang adil dan bebas
membuktikan terdapat kepincangan yang jelas dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini.

Peluang bagi mendapat liputan berita yang saksama adalah sangat mustahak memandangkan pilihan raya yang dijalankan dalam sebuah sistem demokrasi merupakan suatu ‘permainan’ berbentuk persepsi dan persepsi dicorak oleh media.

Oleh yang demikian, pertandingan di antara pihak yang memonopoli media dengan pihak yang dinafikan sepenuhnya ruang media seumpama pertandingan debat di mana seorang pemidato dibenarkan menggunakan mikrofon manakala seorang lagi tidak dibenarkan menggunakan mikrofon untuk berhujah.

Memandangkan media di negara ini terkenal dengan sikap berat sebelah dalam membuat laporan maka Barisan Nasional (BN) tidak segan-segan lagi mengeksploitasi sepenuhnya media untuk kepentingan mereka.

Maka tidak hairanlah jika BN mencengkam dengan kukuh segala bentuk media massa (kecuali Internet) demi mempertahankan masa depan politik mereka.

Cengkaman dan kawalan sepenuhnya terhadap media menjadi lebih mudah apabila mereka memiliki syarikat-syarikat media dan dibantu pula dengan undang-undang yang zalim.

Ini kerana kerajaan BN memiliki kuasa penuh untuk sama ada memberi atau membatalkan lesen media (cetak dan elektronik) dengan menafikan hak pihak lawan mendapat perlindungan dari sudut undang-undang.

Media awam seperti radio dan televisyen sepatutnya bersikap non-partisan bila berdepan dengan isu-isu politik, telah lama dirosakkan

BN bagi mencapai agenda politik sempit mereka, walaupun ini merupakan suatu amalan yang bercanggah dengan Perlembagaan.

Goliath lawan David

Memandangkan cengkaman sepenuhnya terhadap media secara eksklusif ini dengan kuasa yang mereka miliki, kita dapat bayangkan bagaimana senario yang boleh dilihat pada pilihan raya umum nanti.

Sudah pasti pilihan raya seperti ini bukannya bercorak demokrasi. Dalam perang media ini, ia lebih kepada situasi seperti gergasi

‘Goliath’ menentang si kerdil ‘David’. Masakan tidak, medialah yang mempengaruhi fikiran dan fikiran inilah yang mempengaruhi undi.

Memandangkan teknologi terkini Internet sedikit sebanyak dapat mengimbangi padang permainan media yang tidak sama ratanya ini, tapi tahap penggunaannya tidaklah dapat memberi saingan yang berkesan bagi menangkis segala bentuk serangan BN yang disebarkan melalui media arus perdana.

Televisyen, radio dan akhbar masih berperanan sebagai penyampai maklumat yang regular yang menjadi tempat pergantungan majoriti masyarakat di kawasan luar bandar.

Kelemahan serius yang dihadapi Pakatan Rakyat dari sudut penyebaran maklumat diburukkan lagi dengan syarat hanya lapan sehingga 10 hari sahaja sebagai tempoh berkempen (walaupun tempoh masa yang boleh dibenarkan ialah 60 hari).

Keadaan tidak seimbang ini wujud sejak berdekad-dekad lamanya dengan dimanipulasi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi memihak kepada BN.

Dengan tempoh masa kempen yang pendek ini, agak mustahil bagi Pakatan menyampaikan mesejnya, apatah lagi untuk menyanggah propaganda palsu BN, dalam usaha mereka untuk menembusi daerah-daerah pedalaman lagi terpencil melangkaui Laut Cina Selatan.

Eksploitasi dan penyalahgunaan media serta monopoli BN ke atas media massa sebeginilah, termasuk tempoh masa kempen yang singkat telah membawa kejayaan BN dalam setiap pilihan raya umum yang lalu.

Lanskap politik telah berubah

Meninjau senario dewasa ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, apa yang kita dapat lihat ialah landskap politik yang telah diubah.

Di satu pihak, dalam pertempuran (pilihan raya), kita melihat gabungan parti politik yang semakin tua dan terhakis pengaruhnya dengan dasar-dasarnya yang usang, hanya dapat terus berkuasa dengan mencengkam kukuh aparatus kerajaan.

Di satu pihak lagi, sebuah gabungan parti politik yang bangkit yang kaya dengan idea-idea pembaharuan untuk merangsang semula pembangunan negara, membawa bersama rekod cemerlang mereka mentadbir negeri-negeri.

Berdasarkan keadaan ini, boleh dikatakan BN tidak dapat menandingi Pakatan dalam pertandingan yang bebas dan adil, lebih-lebih lagi
dalam trend sekarang ini di mana rakyat mula bangkit menentang kerajaan masing-masing di seluruh dunia, termasuk di rantau ini.

Ketahuilah bahawa kita tidak pernah mengecapi keadilan dalam mengharungi pertandingan pilihan raya selama ini malah pertandingan semakin berat sebelah dan keadaan sekarang ini bertukar menjadi lebih buruk.

Kita sedar bahawa kita sekali lagi akan ditipu dalam proses pemilihan kerajaan yang adil memandangkan BN sedar bahawa jumlah pengundi yang teguh pendiriannya semakin meningkat seperti mana dibuktikan dalam Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Makanya tidak sukar untuk membuat kesimpulan bahawa memandangkan pilihan raya di Malaysia adalah berat sebelah, sama ada rakyat diberi kebebasan untuk memilih dengan bebas dalam PRU-13, bergantung kepada sejauh mana keberkesanan usaha-usaha penambaikan sistem pilihan raya yang sedang diusahakan.

Dari satu segi, fokus Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Penambaikan Proses Pilihan Raya (PSC) dan SPR bagi memperkenal dakwat kekal dan pengundian lebih awal melalui undi pos adalah sesuatu yang dialu-alukan.

Namun kita harus berhati-hati supaya fokus tentang perkara ini tidak mengabui keutamaan kita, iaitu untuk mendapat liputan media yang bebas dan adil untuk semua calon.

Tiada ulasan: