Selasa, 31 Januari 2012

Surat terbuka untuk Presiden PAS

MALAYSIA CHRONICLE


Assalamualaikum wbt

Kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dihormati dan dikasihi, PAS Sarawak dan Dewan Himpunan Penyokong PAS Sarawak (DHPP) ingin menyatakan sokongan kepada Tuan Guru Presiden agar terus memimpin dan berada dalam parlimen Malaysia selagi nyawa masih dikandung badan.

Tuan Guru Presiden harus tetap memimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kerana keilmuan yang meluas dalam bidang agama Islam serta pengalaman Tuan Guru dalam politik di Malaysia sangat dikagumi oleh rakan dan pihak lawan.

Tuan Guru memiliki sifat akhlak yang baik, serta tidak pernah melakukan penyelewengan dan tidak menyalahgunakan kuasa sepanjang memimpin PAS dan juga memerintah Terengganu satu ketika dulu. Sifat yang mulia inilah yang menyebabkan orang Islam dan bukan Islam menerima Tuan Guru sebagai pemimpin yang adil untuk semua.

Tuan Guru telah berjaya bersama-sama menyatukan ketiga-tiga parti (PKR,DAP dan PAS) dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR), maka inilah masanya Tuan Guru sama-sama menikmati hasil perjuangan Pakatan dalam Pilihanraya Umum ke13 nanti.

Dalam keadaan PR menghampiri laluan ke Putrajaya paling tidak, Tuan Guru diperlukan untuk menjadi antara pemimpin paling atas dalam pucuk pimpinan Malaysia jika PR berjaya membentuk kerajaan nanti, Insya-Allah.

Kita tahu ada pihak musuh dalam politik menggunakan isu pengunduran Tuan Guru sebagai alasan mereka mengatakan ada krisis kepimpinan dalam PAS dan Pakatan. Sekarang pihak musuh akan menggunakan apa saja cara untuk mengadu domba dan memecahbelahkan pimpinan Pakatan agar hasrat Pakatan untuk menawan Putrajaya gagal dan Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah Malaysia.

Khidmat dan sumbangan ilmu pengetahuan Tuan Guru sangat diperlukan, kami akan merasa suatu kehilangan yang besar kiranya Tuan Guru mengundur diri pada waktu ini, lebih-lebih lagi perjuangan PAS di Sarawak masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari Tuan Guru.

Sekarang PAS Sarawak telah berjaya menyakinkan rakyat Sarawak agar sama-sama berjuang menegak keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sokongan rakyat terhadap PAS Sarawak tengah meningkat naik dan mereka yakin PAS bersama dengan PR dapat menawan hati rakyat yang berbilang bangsa di Sarawak.

Kami sekali lagi merayu kepada Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang dihormati dan kasihi, agar memikirkan semula hasrat Tuan Guru untuk berundur dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Kita berdoa kepada Allah, semoga Tuan Guru Presiden sentiasa dalam kesihatan yang baik dan terus berjuang bersama menegakkan Negara kebajikan yang bercirikan Islam untuk semua.

Salam perjuangan dari PAS Sarawak

Berjuang kerana Allah

Jofri Jaraiee YDP PAS Miri, merangkap Timbalan Pesuruhanjaya iii PAS Sarawak

-Harakahdaily

Tiada ulasan: