Sabtu, 28 Januari 2012

Stesen minyak tipu pelanggan diarah tutup

Dhia Daniel

Tindakan cuba mengaut untung lebih oleh pemilik stesen minyak terbabit berjaya dikesan melalui pemeriksaan rutin anggota penguatkuasa KPDNKK.



MIRI: Sebuah stesen minyak di Jalan Tudan, dekat sini, diarahkan tutup serta-merta, apabila disyaki menipu orang ramai dengan mengubah sistem ketepatan pengaliran isipadu minyak sekali gus mengurangkan kuantiti sebenar petrol yang dibeli oleh pelanggan.

Bagaimanapun, tindakan cuba mengaut untung lebih oleh pemilik stesen minyak terbabit berjaya dikesan melalui pemeriksaan rutin yang dibuat oleh anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Miri, di stesen minyak terbabit.

Ketua KPDNKK Cawangan Miri, Zakaria Awang, berkata, operasi pemeriksaan itu disertai seramai lima anggota penguat kuasa KPDNKK yang diketuai Ragavan Sukumaran bersama dua pegawai dari Perbadanan Metrologi Malaysia Sdn Bhd. bagi menangani masalah terbabit.

Hasil pemeriksaan pihaknya dengan menggunakan alat penyukat ketepatan isipadu di setiap pam minyak di stesen minyak terbabit mendapati setiap liter petrol yang dibeli oleh pelanggan akan kurang daripada 120 hingga 150 mililiter.

“Kita sudah buat pemeriksaan hampir kesemua pam di stesen minyak berkenaan, dengan setiap pam tidak mencatat jumlah seperti isipadu yang dibenarkan,” katanya.

Jumlah selisih atau jumlah ketepatan isipadu minyak terbabit sepatutnya tidak boleh kurang daripada 10 mililiter untuk setiap liter yang dibeli, jelasnya.

“Hasilnya kita dapat mengesan sesuatu yang tidak kena berlaku. Termasuk sama ada terdapat pengubahsuaian terhadap sistem
pengaliran isipadu minyak atau terdapat kesilapan teknikal semasa membuat penyelenggaran khas di stesen minyak berkenaan,” katanya
kepada pemberita di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, pihaknya setakat ini tidak dapat mengesahkan sama ada pemilik stesen minyak terbabit bersalah atau sebaliknya, menunggu keputusan hasil siasatan yang dibuat terhadap stesen minyak terbabit diperoleh dalam tempoh terdekat.

“Sekiranya bersalah pemilik terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 30 (1), Akta Timbang dan Sukat 1972, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 untuk syarikat, manakala untuk individu boleh dikenakan denda sehingga RM15,000,” jelasnya.

Kes pertama di Sarawak

Zakaria memaklumkan, ia adalah kes pertama stesen minyak di Sarawak yang dikesan menjual petrol dengan kuantiti isipadu yang kurang daripada jumlah selisih yang ditetapkan.

“Justeru, saya mengingatkan supaya tiada pemilik stesen minyak di Miri yang bertindak membuat pengubahsuaian sistem pengaliran isipadu petrol, semata-mata bagi mengaut keuntungan lebih.

“Mereka juga diingatkan supaya membuat laporan kepada pihak KPDNKK sekiranya mahu membuat penyelenggaraan terhadap sistem pengaliran isipadu petrol di stesen minyak mereka kerana ia adalah satu syarat yang perlu dipatuhi oleh semua pemilik stesen minyak di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, orang ramai yang mengesyaki sesuatu yang meragukan di setiap stesen minyak juga diminta supaya membuat laporan segera kepada KPDNKK bagi memastikan tindakan lanjut dapat dibuat.

Tiada ulasan: