Sabtu, 14 Januari 2012

SPRM jejaki pesalah akta harga barangan

MHBN berperanan melindungi kepentingan rakyat daripada kenaikan harga yang tidak munasabah.



KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus menjalankan operasi menjejak mereka yang melanggar akta membabitkan harga barang negara dalam usaha menegakkan keadilan.

Pengarah SPRM Sarawak, Haji Bahri Mohamad Zin, berkata pihaknya memandang serius perkara ini agar hasrat murni kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat akan tercapai.

“SPRM ingin menarik perhatian berhubung Projek Majlis Harga Barang Negara (MHBN) yang dilaksanakan untuk menstabilkan harga barang termasuk barangan perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan penyeragaman harga petrol dan diesel.

“MHBN dilaksanakan kerajaan sejak 2008, berikutan timbul isu kenaikan harga barang tanpa kawalan dan masalah barangan perlu yang menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya.

Malah katanya, MHBN berperanan melindungi kepentingan rakyat daripada kenaikan harga yang tidak munasabah, memastikan barangan mencukupi dan membendung kenaikan kadar inflasi dalam negara. Pelaksanaan MHBN di Sarawak pada 2011 melibatkan subsidi kerajaan sebanyak RM105,393,468.00.

Subsidi ini disalurkan melalui pembekal/pengusaha. Sebanyak 116 pengusaha dilantik dan bersetuju dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan melalui perjanjian yang ditandatangani.

Kos penghantaran barang sehingga ke mata jualan (POS) akan ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya bagi memastikan rakyat khasnya di luar bandar dan pedalaman dapat memperoleh barangan subsidi pada harga kawalan kerajaan selaras dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Hasil operasi yang dijalankan oleh SPRM ke seluruh Sarawak mendapati banyak pengusaha melanggar syarat perjanjian dengan melakukan kesalahan membuat tuntutan palsu yang mana barang-barang tidak dihantar sepenuhnya ke POS-POS, barang-barang dihantar sedikit tetapi membuat tuntutan berganda daripada kerajaan.

Ada sesetengah tempat langsung tidak dihantar barang tetapi tuntutan penghantaran masih dibuat kepada kerajaan, perbuatan ini melibatkan kerugian wang rakyat beratus ribu ringgit dan berlaku ketirisan wang subsidi kerajaan yang besar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tiada ulasan: